Pengeluaran getah asli menurun 6.9% pada November 2023, China kekal destinasi utama eksport

12 Jan 2024 • 12:49 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengeluaran getah asli menurun 6.9% pada November 2023, China kekal destinasi utama eksport

herman

12/01/2024 - 12:49

KUALA LUMPUR 12 Jan - Pengeluaran getah asli menurun 6.9 peratus kepada 30,669 tan metrik pada bulan November 2023 berbanding 32,944 tan metrik pada Oktober 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan tahun ke tahun bagaimanapun menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 9.3 peratus dengan pengeluaran pada November 2022 adalah sebanyak 28,048 tan metrik.

Katanya, sebanyak 85.3 peratus pengeluaran getah asli Malaysia pada November 2023 disumbangkan oleh sektor pekebun kecil berbanding sektor estet (14.7%).

"Jumlah stok getah asli pada November 2023 meningkat 13.2 peratus kepada 172,335 tan metrik berbanding 152,196 tan metrik pada Oktober 2023.

"Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 89.8 peratus diikuti kilang pengguna getah (10.1%) dan
estet getah (0.1%)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr Mohd Uzir, eksport getah asli Malaysia berjumlah 51,437 tan metrik pada November 2023, menurun 8.9 peratus berbanding Oktober 2023 (56,460 tan metrik).

"China kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 48.3 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada November 2023 diikuti Jerman (8.9%), Iran (5.7%), Amerika Syarikat (4.0%) dan Pakistan (2.8%).

image is not available
Infografik DOSM berhubung Perangkaan Getah Bulan Novermber 2023

"Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

"Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.01 bilion pada November 2023, meningkat 1.0 peratus berbanding Oktober 2023 (RM1 bilion)," ujar Ketua Perangkawan itu.

Sementara itu, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan peningkatan iaitu 3.3 peratus kepada 549.67 sen sekilogram pada November berbanding 532.2 sen sekilogram pada Oktober 2023.

Sekerap pula meningkat 2.4 peratus kepada 562.24 sen sekilogram berbanding 548.84 sen sekilogram pada Oktober 2023.

Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula meningkat antara 1.0 peratus hingga 3.2 peratus.

Memetik The World Bank Commodity Price Data, DOSM berkata, harga bagi getah jenis TSR 20 meningkat 2.2 peratus daripada AS$1.45 sekilogram kepada AS$1.48 sekilogram dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) meningkat 4.2 peratus daripada AS$1.61 sekilogram kepada AS$1.67 sekilogram.

Menurut Malaysia Rubber Board Digest pada November 2023, pasaran getah Kuala Lumpur menunjukkan trend bercampur-campur.

Secara keseluruhannya, sentimen positif disumbangkan oleh langkah rangsangan yang diumumkan oleh China dan sasaran ekonomi positif bagi tahun 2024 walaupun kekurangan bekalan getah asli oleh pengeluar utama terutamanya oleh Thailand.- DagangNews.com