Perdagangan borong dan runcit Malaysia catat peningkatan 6.2% kepada RM142.6 bilion pada November 2023 - DOSM

Business & Finance
11 Jan 2024 • 2:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Perdagangan borong dan runcit Malaysia catat peningkatan 6.2% kepada RM142.6 bilion pada November 2023 - DOSM

zulfadli

11/01/2024 - 14:55

KUALA LUMPUR 11 Jan - Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan berjumlah RM142.6 bilion, meningkat 6.2% tahun ke tahun pada November 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurut DOSM, bagi perbandingan bulanan, nilai jualan kembali positif dengan peningkatan marginal 0.2% berbanding Oktober 2023.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan sebanyak 6.2% tahun ke tahun bagi perdagangan borong dan runcit pada November 2023 dipacu subsektor perdagangan borong yang meningkat 6.2% atau RM3.7 bilion kepada RM63.2 bilion.

Katanya, perdagangan runcit juga berkembang dengan mencatatkan 4.4% atau RM2.6 bilion kepada RM61.3 bilion, diikuti kenderaan bermotor dengan pertumbuhan dua digit 12.7% atau RM2 bilion untuk berada pada RM18.1 bilion.

"Bagi perbandingan bulanan, peningkatan marginal 0.2% berbanding bulan sebelumnya adalah disumbangkan perdagangan runcit yang naik 1.2%. Bagaimanapun, subsektor kenderaan bermotor dan perdagangan borong masing-masing merekodkan pertumbuhan negatif iaitu -1.6% dan -0.2%," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Melihat kepada prestasi mengikut subsektor, Mohd Uzir memaklumkan, pertumbuhan 6.2 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan borong didorong lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat RM2.1 bilion atau 9.3% kepada RM24.2 bilion.

Katanya, ia diikuti jualan borong barangan isi rumah (5.2%), jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (9.5%), jualan borong makanan, minuman dan tembakau (2.3%), jualan borong jentera, peralatan dan bekalan (2.6%), perdagangan borong tanpa pengkhususan (3.3%) dan jual borong berdasarkan kontrak atau yuran (4.1%).

image is not available

"Bagaimanapun, bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong menyusut -0.2%, terutamanya disebabkan lain-lain pengkhususan jualan borong (-1.1%), jualan borong barangan Isi rumah (-1.5%) dan jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (-1.1%)," katanya.

Mengulas lanjut mengenai subsektor perdagangan runcit, Mohd Uzir berkata, kenaikan 4.4% tahun ke tahun pada bulan ini disokong jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang tumbuh 6.5% atau RM1.4 bilion kepada RM23.4 bilion.


Katanya, kumpulan lain dalam subsektor ini turut merekodkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan (3.7%), jualan runcit makanan, minuman dan rembakau (10.3%), jualan runcit barangan isi rumah (3.7%), jualan runcit bahan api kenderaan (2.9%), jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi (1.6%), jualan runcit di gerai dan pasar (5.8%) dan jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (0.7%).

"Bagi perbandingan bulanan, jualan subsektor ini kembali menunjukkan peningkatan dengan catatan 1.2%, disokong jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (2%), jualan runcit di kedai pengkhususan (1.9%), jualan runcit barangan isi rumah (1%) dan jualan runcit makanan, minuman dan tembakau (1.4%).

Beliau berkata, pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 12.7% bagi subsektor kenderaan bermotor pada bulan ini dipacu jualan kenderaan bermotor yang melonjak 13.5% atau RM1.2 bilion kepada RM10 bilion.

"Ini diikuti jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor (14.5%) dan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (16.3%). Sebaliknya, bagi perbandingan bulanan, subsektor ini merosot -1.6%, disebabkan jualan kenderaan bermotor (-2.8%) dan jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal (-3.2%)," katanya.

Katanya, bagi indeks jualan runcit melalui internet, indeks ini jatuh -1% tahun ke tahun pada November 2023 berbanding -0.3% pada Oktober 2023. Bagi nilai pelarasan musim, indeks ini merosot -4.4% berbanding bulan sebelum.

"Beralih kepada indeks volum, perdagangan borong dan runcit pada November2023 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.7%," katanya.

Tambahnya, pengembangan ini disumbangkan semua subsektor iaitu kenderaan bermotor (10.5%), perdagangan borong (5.8%) dan perdagangan runcit (2.9%). Bagi indeks volum pelarasan musim, ia kembali positif dengan 0.7% bulan ke bulan. - DagangNews.com

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved