Pengeluaran minyak pertama buka laluan kepada projek janakuasa RM2 bilion Petros, Petra Energy di Miri

LocalBusiness & Finance
3 Aug 2026 • 9:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengeluaran minyak pertama buka laluan kepada projek janakuasa RM2 bilion Petros, Petra Energy di Miri Image from: Pengeluaran minyak pertama buka laluan kepada projek janakuasa RM2 bilion Petros, Petra Energy di Miri johardy03/08/2026 - 09:50 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Ogos — Kejayaan pengeluaran minyak pertama dari medan Adong Kechil West (AKW) di Marudi, utara Sarawak membuka laluan kepada fasa seterusnya pembangunan medan itu untuk membekalkan gas kepada projek loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan bernilai kira-kira RM2 bilion di Miri.

 

Petra Energy Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Petra Energy Development Sdn. Bhd. (PEDSB), merupakan pengendali medan AKW yang terletak dalam Blok SK433.

 

Menurut Petroleum Sarawak Bhd (Petros), fasa seterusnya pembangunan AKW akan memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan pengeluaran dan infrastruktur sokongan penting bagi membekalkan gas kepada loji janakuasa tersebut.

 

 

 

 

 

Loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan berkapasiti 500 megawatt (MW) itu merupakan komponen utama Pelan Hala Tuju Gas Sarawak bagi hab utara negeri berkenaan dan disasarkan untuk mula beroperasi menjelang akhir 2027.

 

Kemajuan pembinaan projek itu mencapai kira-kira 45% setakat Mac 2026.

 

“Pembangunan ini akan terus meningkatkan daya tahan bekalan bagi memenuhi keperluan tenaga Miri pada masa hadapan, di samping memperkukuh keselamatan tenaga jangka panjang Sarawak,” kata Petros.

 

Pengeluaran minyak darat kembali selepas 50 tahun

Medan AKW mencapai pengeluaran minyak pertama pada 18 Julai 2026, sekali gus menandakan kembalinya pengeluaran minyak darat di Sarawak selepas lebih 50 tahun.

 

Pengeluaran awal medan itu berjumlah kira-kira 800 tong minyak sehari atau sekitar 24,000 tong sebulan.


 

solar

 


Petra Energy berkata, kadar pengeluaran telaga minyak itu dijangka dioptimumkan secara berperingkat apabila kemudahan berkaitan semakin stabil dan prestasi operasi dipertingkatkan.

 

“Pencapaian ini merupakan detik penting dalam pembangunan Blok SK433,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Telaga minyak pertama di Malaysia digerudi di Bukit Kanada, Miri pada 1910.

 

Blok SK433 dibangunkan di bawah kontrak perkongsian pengeluaran petroleum yang dianugerahkan Petros kepada usaha sama PEDSB dan Uzma Engineering Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Uzma Bhd.

 

Petra Energy memiliki kepentingan ekuiti sebanyak 50% dalam kontrak petroleum itu.

 

Blok berkeluasan kira-kira 3,100 kilometer persegi berkenaan merangkumi medan AKW dan merupakan kontrak petroleum darat pertama yang dianugerahkan kerajaan Sarawak melalui Petros pada Julai 2021 di bawah Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958.

 

Pada masa sama, Blok SK334 yang terletak berhampiran Limbang dan Lawas turut dianugerahkan oleh kerajaan negeri.

 

Kontrak SK433 mempunyai tempoh keseluruhan 29 tahun. Fasa pertama berlangsung selama empat tahun dengan pilihan lanjutan setahun, manakala fasa kedua melibatkan aktiviti pembangunan dan pengeluaran tertakluk kepada kejayaan fasa awal.

 

Kerja penggerudian darat di SK433 bermula pada Oktober 2023 selepas kempen penilaian medan berjaya dilaksanakan.

 

Rizab gas sokong bekalan loji janakuasa

Berdasarkan anggaran dalaman dan perunding luar, medan AKW mempunyai rizab minyak terbukti dan berkemungkinan sebanyak 0.2 juta tong tangki stok serta rizab gas sebanyak 64.31 bilion kaki padu standard.

 

Anggaran terbaik sumber kontinjen medan itu pula berjumlah 0.1 juta tong tangki stok minyak dan 0.23 bilion kaki padu standard gas.

 

Menurut Laporan Tahunan Petra Energy 2025, kemudahan pengeluaran dibangunkan untuk dua telaga pembangunan di medan AKW.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petra Energy, Datuk Anthony @ Firdauz Bujang berkata, kontrak bina, miliki dan kendali bagi kemudahan pengeluaran AKW dianugerahkan oleh Petros pada Jun 2025.

 

 

 

 

 

 

Penganugerahan itu menandakan permulaan pelaksanaan projek secara terperinci, perancangan dan kerjasama antara pihak berkaitan.

 

Kerja fabrikasi bagi komponen utama kemudahan pengeluaran kemudian dianugerahkan sebelum projek memasuki fasa awal pembinaan pada November 2025. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved