
SEPANG – Riyadh Air menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk pertama syarikat penerbangan itu ke Asia Tenggara menerusi pelancaran laluan terus Riyadh-Kuala Lumpur, sekali gus memperkukuh ketersambungan udara di antara Arab Saudi dan rantau ini.
Ketua Pegawai Komersial Riyadh Air, Vincent Coste berkata, Kuala Lumpur dipilih sebagai destinasi pertama di Asia Tenggara kerana laluan berkenaan mempunyai potensi besar dengan permintaan perjalanan yang kukuh dari kedua-dua arah.
“Malaysia merupakan destinasi pelancongan popular dalam kalangan rakyat Arab Saudi, manakala Arab Saudi pula menerima permintaan tinggi daripada rakyat Malaysia bagi tujuan ibadah, urusan perniagaan dan pelancongan,” katanya pada Majlis Sambutan Ketibaan Penerbangan Sulung Riyadh Air di sini, hari ini.
Pesawat Boeing 787-9 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid (RUH) pada 10.50 malam sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.10 tengah hari tadi.
Menurutnya, pada peringkat awal, laluan Kuala Lumpur-Riyadh akan didominasi penumpang yang melakukan perjalanan terus di antara kedua-dua bandar raya itu.
Katanya, trafik sambungan ke Jeddah, khususnya membabitkan jemaah umrah, dijangka berkembang dengan pantas, sebelum lebih ramai penumpang menggunakan Riyadh sebagai hab transit ke destinasi lain.
“Mulai tahun depan dan seterusnya, kami menjangkakan lebih ramai penumpang menggunakan Riyadh sebagai hab transit ke Eropah, Afrika dan destinasi lain apabila rangkaian kami terus berkembang,” katanya.
Terdahulu, Riyadh Air menyediakan tiga kali penerbangan seminggu bagi laluan terus dari KLIA Terminal 1 ke RUH dan sebaliknya.
Laluan berkenaan turut menyokong perjalanan jemaah umrah dan haji dari Malaysia ke Arab Saudi, selain menawarkan pelancong dari Arab Saudi laluan untuk meneroka Malaysia dan rantau Asia Tenggara yang lebih luas. – KOSMO! ONLINE
The post Riyadh Air buka laluan terus Riyadh-KL appeared first on Kosmo Digital.



