
Di CES 2026, NVIDIA mengumumkan platform senibina cip Rubin yang akan menggantikan senibina Blackwell yang digunakan sekarang. CEO Jensen Huang mengatakan cip dengan senibina ini akan menawarkan peningkatan kelajuan melatih model kecerdasan buatan (AI) dan juga inferens pada waktu yang sama menawarkan penjimatan penggunaan kuasa.

Semalam, NVIDIA mengumumkan pengeluaran skala penuh Vera Rubin telah dimulakan dengan ia telah digunakan oleh CoreWeave, Google Cloud, Microsoft Azure, dan Oracle Cloud. Cip AI ini menjanjikan prestasi per watt tertinggi dan kos token terendah untuk operasi AI global.
Platform Rubin dinamakan sempena ahli astronomi Vera Rubin dengan ia menggabungkan enam cip untuk menghasilkan sebuah ekosistem AI yang lengkap. Cip tersebut ialah CPU Vera, GPU Rubin, NVLink 6 Switch, ConnectX‑9 SuperNIC, DPU BlueField‑4 DPU dan Spectrum‑6 Ethernet Switch.

Prestasi melatih model AI adalah sehingga 3.5x lebih pantas berbanding Blackwell, sehingga 5x lebih pantas dalam tugasan inferens dengan kuasa memproses mencecah 50 PFLOPS. Dalam ujian awal, CoreWeave melaporkan prestasi sehingga 10 kali ganda untuk setiap megawatt berbanding Grace Blackwell NVL72.
Selain itu sistem penyejukan pada suhu lebih tinggi 45°C membolehkan operasi tanpa memerlukan unit penyejukan (chiller) menjimatkan jutaan gelen air per megawatt setiap tahun. Pada waktu yang sama rekaan tanpa kabel, kipas dan hos pula memendekkan masa pemasangan talam sistem dari memakan masa jam ke beberapa minit.



