Storan SSD menggunakan piawaian PCIe Gen3 telah diperkenalkan sejak sekitar tahun 2010, dan pada waktu tersebut, ia memperlihatkan storan komputer yang pantas untuk pertama kalinya. Sistem operasi dapat dimulakan dalam masa beberapa saat, dan akses kepada fail, laman web dan permainan komputer juga boleh dilakukan dengan pantas.
Akan tetapi, kemajuan teknologi telah memperlihatkan piawaian storan yang jauh lebih pantas, seperti PCIe Gen4 dan PCIe Gen5 yang kini menjanjikan kadar pembacaan dan penulisan data 3 ke 4 kali lebih pantas berbanding dengan PCIe Gen3 dan kini, kedua-dua piawaian tersebut dilihat ditawarkan secara lalai pada papan-papan induk komputer desktop. Malah, komputer riba moden juga secara lazimnya semua menggunakan storan PCIe Gen4 sahaja.
Oleh kerana ini, ia telah dilaporkan bahawa para pembuat storan SSD dilihat akan menghentikan pengeluaran SSD PCIe Gen3 secara berperingkat. Secara teknikalnya, storan PCIe Gen3 M.2 berkapasiti tinggi sudahpun dihentikan pengeluarannya, tetapi nampaknya permintaan untuk SSD dengan storan kecil masih lagi banyak, dan oleh kerana ini, pengeluaran storan tersebut masih lagi diteruskan.

Setakat ini ia tidak diketahui lagi bilakah jenama-jenama SSD akan menghentikan pengeluaran SSD PCIe Gen3 ini secara sepenuhnya. Dengan bagaimana pasaran pengguna dan juga sektor enterprise secara lazimnya kini sudah mula berpindah menggunakan storan PCIe Gen4, Gen5 dan Gen6, ia tidak mengejutkan sekiranya pilihan storan PCIe Gen3 akan hilang terus dari pasaran dalam masa terdekat.
Malah, kini ia dapat dilihat bahawa pusat data juga lebih mementingkan kelajuan pembacaan dan penulisan data bukan sahaja untuk tujuan pemesatan teknologi kecerdasan buatan, malah pusat data yang menyimpan data untuk penstriman video juga kini memerlukan storan berkelajuan tinggi untuk membolehkan mereka menstrim kandungan beresolusi tinggi dengan kadar yang pantas.

