Samsung Memulakan Pengeluaran SSD PM9E1 – Hadir Dengan Kelajuan Membaca Data 14.5GB/s

TechnologyDigital
8 Oct 2024 • 11:04 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Samsung, syarikat teknologi terkemuka yang terkenal untuk pelbagai jenis peranti elektronik mereka baru-baru ini telah mengumumkan bahawa mereka akan mula mengeluarkan storan SSD terbaru dan terhebat mereka setakat ini, iaitu Samsung PM9E1.

Ia hadir dengan pilihan storan dari 512GB, 1TB, 2TB dan 4TB, yang dilihat sebagai saiz storan terbesar untuk storan SSD pengguna setakat ini. Selain daripada itu, Samsung turut mengatakan bahawa SSD mereka semuanya hadir dengan kadar pembacaan data setinggi 14.5GB/s dan kadar penulisan data 13GB/s dan menggunakan antaramuka PCIe 5.0 x8.

image is not available

Untuk ini, Samsung telah menggabungkan penggunaan cip storan V-NAND generasi kelapan mereka dan juga cip pengawal SSD yang dibina menggunakan proses 5nm mereka sendiri. Samsung mengatakan bahawa gabungan kedua-dua komponen ini membolehkan SSD Samsung PM9E1 ini untuk digunakan untuk semua jenis PC, termasuklah komputer riba generasi AI yang berada di pasaran sekarang.

Untuk komputer-komputer riba tersebut, Samsung turut mengatakan bahawa SSD PM9E1 ini tampil dengan penggunaan kuasa elektrik yang 50 peratus lebih rendah berbanding model mereka sebelum ini, dan ini adalah sesuai untuk komputer-komputer riba nipis dan ringan hari ini.

Dalam pada itu, SSD ini juga dilengkapi dengan sejumlah ciri sekuriti baru seperti Security Protocol and Data Model (SPDM) v1.2 yang dikatakan boleh mengekang serangan penggodam walaupun pada fasa pengeluaran SSD ini.

Buat masa ini, ia masih tidak diketahui lagi bilakah Samsung akan menjual SSD PM9E1 ini.