International Data Corporation (IDC) mengeluarkan laporan yang meramalkan pengeluaran telefon pintar sepanjang 2026 akan susut 12.9% berbanding 2025. Hanya 1.12 bilion telefon dijangka dikeluarkan tahun ini dan ia adalah disebabkan oleh peningkatan harga RAM mendadak selepas permintaan tinggi daripada industri kecerdasan buatan (AI).

Kenaikan kos komponen memaksa pengeluar menaikkan harga dan pada waktu yang sama permintaan untuk peranti pada harga tinggi dijangka turun. Kombinasi ini akan menyebabkan pengeluaran berkurangan. Sudah dapat dilihat pengeluar seperti ASUS yang menarik diri daripada menawarkan model baharu telefon pintar tahun ini.
Harga jualan purata telefon pintar 2026 dijangka meningkat 14% ke $523 sebuah dengan pasaran pranti bawah $100 akan paling terjejas walaupun selepas harga memori dijangka kembali normal pada pertengahan 2027. Pengeluaran telefon pintar dijangka meningkat 2% pada tahun 2027, dan kemudian 5.2% pada 2028 tetapi tidak akan kembali ke tahap sebelum 2025.
Sementara itu siri Samsung Galaxy S26 yang dilancarkan semalam dijual pada harga sehingga RM600 lebih tinggi dengan pilihan storan yang lebih kecil berbanding siri Galaxy 25. Ini akan menjadi trend tahun ini dengan pengeluar lebih berhati-hati menggunakan inventori RAM sedia ada untuk model yang ditawarkan kepada pengguna.

