Pengembaraan menjejak ‘ikan serigala’ Amazon

10 Sep 2026 • 10:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pengembaraan menjejak ‘ikan serigala’ Amazon

Sebenarnya, lima hari di bumi Perancis memancing wels catfish bukanlah satu noktah buat Zahrin kerana pengembaraannya bersambung pula ke hutan Amazon di Amerika Selatan bagi menjejak ikan aimara yang ganas.

Dari Paris langkahnya diteruskan ribuan kilometer ke French Guiana, wilayah Perancis yang terletak di Timur Laut Amerika Selatan.

Kumpulannya bakal memasuki hutan Amazon untuk memburu sejenis ikan pemangsa air tawar yang kelihatan seperti ikan prasejarah sezaman dengan dinosaur.

Ikan aimara, aymara atau haimara ini walaupun ejaan berbeza, ia masih di bawah satu nama saintifik iaitu Hoplias aimara. Dalam kalangan pemancing, ia terkenal dengan jolokan wolf fish iaitu ikan serigala.

Ikan ini mendapat namanya ‘serigala’ kerana profil giginya yang panjang, tajam dan berceranggah dan ia terkenal sebagai ikan sentiasa memecahkan gewang.

Pengembaraan

Perjalanan dari Paris ke Cayenne, ibu negara French Guiana mengambil masa kira-kira lapan jam.

Namun, penerbangan panjang itu ­hanyalah permulaan.

Cabaran sebenar menanti jauh di pedalaman, apabila segala keselesaan kota perlu ditinggalkan untuk satu ekspedisi epik selama 11 hari.

Persediaannya juga berbeza daripada trip memancing biasa. Sebelum berangkat, semua ahli trip perlu mendapatkan
suntikan vaksin demam kuning atau sebagai ‘pendinding’ apabila memasuki kawasan pendalaman Amerika Selatan.

Image from: Pengembaraan menjejak ‘ikan serigala’ Amazon
Khidmat helikopter diperlukan untuk pergi ke hulu sungai, tempat bermulanya trip, sesuatu yang amat jarang dilakukan di negara kita.

Setibanya di Cayenne, Zahrin bersama rakan-rakan bertemu Fredo, warga Perancis yang menetap di sana dan bertindak sebagai jurupandu (guide) sepanjang ekspedisi.

Malam pertama dihabiskan di kediaman Fredo. Masa untuk berehat tidak panjang kerana keesokan harinya mereka perlu menyusun peralatan memancing, bekalan makanan, khemah dan segala kelengkapan sebelum meninggalkan dunia moden untuk masuk jauh ke dalam hutan.

Helikopter

Ekspedisi ini melangkaui jarak 180 kilometer sepanjang Sungai Suriname, bermula jauh di hulunya, kemudian barulah bergerak mengikut arus menuju ke bahagian hilir.

Menariknya, perjalanan itu bukan menggunakan bot berkuasa enjin.

Sebaliknya, tiga buah kayak angin menjadi pengangkutan utama enam anggota ekspedisi.

Untuk sampai ke titik permulaan, mereka perlu menaiki helikopter selama kira-kira setengah jam terlebih dahulu.

Image from: Pengembaraan menjejak ‘ikan serigala’ Amazon
Zahrin dan Fabian double strike aimara, spesies ikan natif yang ganas dan hanya wujud di lembangan Amazon.

Dari udara, hamparan hutan hijau yang luas memberikan gambaran betapa jauhnya mereka bakal meninggalkan penempatan manusia.

Sebaik sahaja bunyi kipas helikopter semakin hilang di kejauhan, tinggal lah mereka berenam di tengah hutan. Tiada jalan untuk berpatah balik dengan
mudah.

Dari situ, perjalanan hanya mempunyai satu arah iaitu menghilir sungai, buru ikan target dan kembali dengan selamat.

11 hari ekspedisi

Setiap kayak membawa dua orang bersama barangan masing-masing. Perjalanan dilakukan dengan berhanyut, membiarkan kayak bergerak mengikut arus sambil mata sentiasa memerhati struktur di kiri dan kanan tebing sungai.

Apabila menemui kawasan berpotensi, perjalanan diperlahankan untuk memberi ruang melakukan balingan gewang,
kemudian mereka kembali mendayung.

Rutin itu kelihatan mudah, tetapi keadaan sungai sering memaksa mereka bekerja lebih keras.

Pokok tumbang yang merentangi sungai menjadi halangan paling kerap ditemui. Ada kalanya, batang kayu terlalu besar untuk dilepasi kayak.

Apabila keadaan itu berlaku, semua barang perlu dipunggah. Kayak diangkat melepasi halangan sebelum peralatan dimasukkan semula satu demi satu, barulah perjalanan dapat diteruskan.

Menjelang petang, fokus mula beralih daripada memancing ikan kepada mencari tapak perkhemahan.
Kawasan yang sesuai dan selamat perlu dikenal pasti sebelum hari gelap.

Khemah didirikan, peralatan disusun dan makanan disediakan. Keesokan pagi, semuanya dikemas semula sebelum tiga kayak kembali memasuki sungai. Begitulah atur cara mereka sepanjang trip.

Cabaran

Pengalaman menghilir menggunakan kayak memberikan peluang merasai sendiri ‘aura’ di tengah hutan Amazon. Gangguan pacat dan nyamuk yang sering dikaitkan dengan hutan tropika tidak begitu dirasai.

Fredo sudah mengingatkan mereka tentang kemungkinan bertembung dengan tiga jenis pemangsa yang jauh lebih bahaya iaitu ular anaconda, buaya caiman dan harimau jaguar.

Namun, cabaran paling mencemaskan sepanjang perjalanan bukanlah tiga jenis haiwan itu. Sebaliknya, sebuah kayak yang tidak diikat kemas hanyut dibawa arus.

Menyedari kayak tersebut sudah tiada, mereka segera mencarinya hingga terpaksa mendayung kira-kira satu kilometer sebelum akhirnya menemui semula kayak berkenaan.

Bekalan makanan sudah dirancang sejak awal. Makanan dalam tin, beras dan keperluan asas dibawa bersama bagi memastikan tenaga mencukupi sepanjang perjalanan.

Namun, apabila berada di sungai yang kaya dengan ikan, hasil pancingan turut menjadi sebahagian daripada menu.

Seekor atau dua ikan aimara bersaiz hidangan akan dibawa ke kem untuk dimasak. Isinya manis dan lembut, hampir menyerupai ikan haruan di negara kita.

Selepas seharian mendayung, mengangkat kayak melepasi kayu tumbang dan mengilat dari pagi hingga petang, hidangan ikan segar di tengah hutan memberikan nikmat tersendiri.

180 kilometer

Selepas 11 hari dan kira-kira 180 kilometer perjalanan, ekspedisi akhirnya menghampiri penghujung. Sebuah bot lebih besar menunggu di sungai utama untuk membawa mereka keluar dari kawasan hutan.

Malam terakhir dihabiskan di rumah Fredo. Selepas berhari-hari hanya menikmati makanan asas di tepi sungai, mereka menutup perjalanan dengan hidangan barbeku yang enak sebelum kembali ke Cayenne pada keesokan harinya.

Dari sana, penerbangan membawa Zahrin kembali semula ke Paris.

Namun, 11 hari di Amazon meninggalkan cerita yang sukar disamakan dengan trip memancing biasa.

Pemangsa bergigi tajam yang menunggu di sebalik kayu tumbang itu memerlukan pendekatan memancing yang jauh lebih khusus.

Bagaimana struktur dibaca, gewang dipilih, balingan dilakukan dan set berat digunakan untuk menghalang ikan daripada kembali ke reba menjadi cerita yang berbeza.

The post Pengembaraan menjejak ‘ikan serigala’ Amazon appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved