Pengerusi kuil didakwa ceroboh tanah persendirian

LocalPolitics
9 Feb 2026 • 11:21 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Paramaguru didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada Isnin atas satu pertuduhan menceroboh tanah persendirian, tahun lalu.
image is not available
Paramaguru didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada Isnin atas satu pertuduhan menceroboh tanah persendirian, tahun lalu.

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Seorang pengerusi sebuah kuil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas satu pertuduhan menceroboh tanah persendirian tahun lalu.

M Paramaguru, 49, yang juga pengawal keselamatan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Khairatul Animah Jelani.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa menceroboh dengan memasuki kawasan tanah milik Datuk Suhaili Ahmad, 70, tanpa kebenaran di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil jam 4.45 petang 19 Jun 2025.

Dia yang memakai baju T berwarna putih dan berseluar lokap jingga, didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 

**media[3428889]**

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim mencadangkan lelaki itu diberi ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, Darshela Hari Raja yang mewakili tertuduh, merayu diberi jaminan pada kadar minimum kerana perlu menyara bayi berusia 11 bulan dan seorang lagi anak enam tahun bersama isteri yang juga suri rumah.

Menurutnya, anak guam tidak mempunyai rekod lampau dan sentiasa memberi kerjasama kepada pihak polis sejak ditahan.

"Dia tidak akan melarikan diri kerana mempunyai pekerjaan dan ahli keluarga di sini malah mematuhi arahan untuk hadir ke mahkamah, pada tarikh yang ditetapkan," katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Khairatul Animah membenarkan lelaki itu diberi ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 12 Mac depan untuk serahan dokumen.

Sebelum ini, tertuduh ditahan di rumahnya di lokasi sama pada jam 3.30 petang Ahad.

Media turut melaporkan, pemilik tanah persendirian terbabit, telah memberi tempoh seminggu kepada pihak pengurusan kuil berkenaan supaya mengosongkan tanah yang diduduki secara haram.