
KOTA BHARU – Seorang pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas tidak hadir ke mahkamah untuk menghadapi 41 pertuduhan gagal menyelenggara buku stok barang kawalan berjadual minyak masak subsidi, dua tahun lalu.
Selain itu, Orang Kena Saman (OKS), Pui Tiong Lam, 61, yang juga merupakan pemilik perniagaan borong minyak masak subsidi turut didakwa gagal mematuhi notis bertulis dikeluarkan Penolong Pengawal Bekalan iaitu Arahan Untuk Mengemukakan Jawapan, Maklumat Berhubung Barang Kawalan Minyak Masak pada Mac lalu.
Hakim Nik Habri Muhamad memutuskan waran tangkap dikeluarkan terhadap OKS selepas lelaki itu gagal hadir ke mahkamah untuk prosiding pendakwaan tanpa alasan kukuh.
Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Siti Edabayu Subhan dalam hujahannya berkata, OKS tidak mengemukakan sebarang dokumen sijil sakit untuk menyatakan ketidakhadiran ke mahkamah hari ini.
“Justeru, pihak pendakwaan memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap OKS untuk didakwa atas kesemua pertuduhan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa KPDN, Muhammadi Iman Masjuri ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pertuduhan dijalankan selepas OKS gagal mengemaskini buku stok barang kawalan minyak masak dan disyaki bagi tujuan penyelewengan ke negara sempadan.
Katanya, OKS berdepan 71 pertuduhan gagal menyelenggara buku stok barang kawalan berjadual minyak masak subsidi pada 6 Ogos 2024 dan satu pertuduhan gagal untuk mematuhi notis bertulis yang dikeluarkan oleh Penolong Pengawal Bekalan pada Mac lalu.
“Lelaki itu sepatutnya didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas 42 pertuduhan manakala 30 lagi pendakwaan dikemukakan esok.
“Justeru, pihak mahkamah memerintahkan waran tangkap dikeluarkan terhadap OKS untuk pendakwaan di mahkamah dalam tempoh segera,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 5 November depan untuk sebutan waran tangkap. – KOSMO! ONLINE
The post Pengerusi NGO tak hadir mahkamah dikenakan waran tangkap appeared first on Kosmo Online.






