Tidak hadir mahkamah, pengerusi NGO dikenakan waran tangkap

LocalPolitics
23 Sep 2026 • 11:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tidak hadir mahkamah, pengerusi NGO dikenakan waran tangkap
Anggota KPDN dan pihak pendakwaan melihat fail OKS.   

KOTA BHARU - Seorang pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas gagal hadir bagi menghadapi 42 pertuduhan berkaitan kesalahan pengurusan rekod minyak masak bersubsidi, dua tahun lalu.

Waran tangkap terhadap Pui Tiong Lam, 61, dibenarkan Hakim Nik Habri Muhamad selepas Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan memohon perintah berkenaan terhadap orang kena saman (OKS) pada prosiding itu.

Sebelum itu, nama OKS yang juga pemilik perniagan borong minyak masak terbabit dipanggil di hadapan mahkamah, namun dia tidak hadir.

Siti Edabayu kemudian memaklumkan bahawa saman terhadap OKS sudah diserahkan pada 9 September lalu.

Menurutnya, pihaknya turut dimaklumkan OKS tidak sihat ketika dihubungi, namun tidak mengemukakan sijil cuti sakit (MC) kepada mahkamah.

Susulan ketidakhadiran itu, Siti Edabayu memohon supaya waran tangkap dikeluarkan bagi membolehkan OKS dibawa ke mahkamah pada bila-bila masa.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan berkenaan.

Daripada 42 pertuduhan yang dihadapi OKS pada 6 Ogos 2024 itu, satu pertuduhan membabitkan kegagalan mengemukakan dokumen berkaitan minyak masak, manakala 41 lagi berkaitan kegagalan menyelenggara buku stok minyak masak bersubsidi.

Kesalahan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 8(4)(a) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 13(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Jika sabit kesalahan, seksyen dan peruntukan berkenaan memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan 5 November ini untuk sebutan waran tangkap.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan, Muhammadi Iman Masjuri ketika ditemui di luar mahkamah memaklumkan OKS sepatutnya berdepan keseluruhan 72 pertuduhan.

“Hari ini sepatutnya disebutkan 42 pertuduhan dan baki lagi 30 pertuduhan berkaitan kegagalan menyelenggara buku stok minyak masak bersubsidi dijangka dibuat esok,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved