johardy01/06/2026 - 09:13 KUALA LUMPUR 1 Jun - Malaysia hari ini mula menguatkuasakan syarat pengesahan umur bagi pendaftaran dan pembukaan akaun media sosial sebagai langkah memperkukuh perlindungan kanak-kanak bawah usia 16 tahun daripada ancaman siber.
Pelaksanaan itu dibuat selaras dengan penguatkuasaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), yang turut berkuat kuasa hari ini menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Di bawah peraturan baharu itu, individu berumur bawah 16 tahun tidak lagi dibenarkan membuka akaun media sosial, manakala pengguna yang ingin mendaftar diwajibkan mengemukakan dokumen pengenalan rasmi kerajaan seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID bagi tujuan pengesahan umur.
Keperluan tersebut bukan sahaja terpakai kepada pengguna baharu, malah pemilik akaun sedia ada juga perlu menjalani proses pengesahan identiti bagi memastikan mereka memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.
Langkah berkenaan meletakkan Malaysia seiring dengan beberapa negara lain yang telah memperkenalkan sekatan akses media sosial kepada golongan muda, termasuk Australia dan Indonesia.
Menurut MCMC, pendekatan Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri kerana memanfaatkan perundangan berkaitan MyKad dan sistem MyDigital ID sebagai mekanisme keselamatan tambahan bagi memastikan pengesahan identiti yang lebih sahih dan selamat.
Suruhanjaya itu berkata, penguatkuasaan CPC dan RMC bertujuan memperkukuh ekosistem perlindungan kanak-kanak serta memastikan penyedia platform digital mengambil langkah lebih proaktif dalam menangani kandungan berbahaya.
Kedua-dua kod tersebut dibangunkan menerusi sesi libat urus dan rundingan awam yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pemain industri serta pertubuhan masyarakat sivil sejak Februari lalu.
Di bawah CPC, penyedia platform diwajibkan mengamalkan konsep safety by design atau keselamatan melalui reka bentuk, termasuk mengehadkan ciri-ciri yang boleh mendedahkan kanak-kanak kepada risiko eksploitasi siber, pemangsa dalam talian dan kandungan tidak sesuai.
Penilaian Risiko
Sementara itu, RMC mewajibkan penyedia perkhidmatan melaksanakan penilaian risiko secara menyeluruh, memperketatkan tadbir urus kandungan serta menyediakan mekanisme pelabelan bagi kandungan yang telah dimanipulasi bagi membendung penipuan dan penyebaran maklumat palsu.
Penyedia perkhidmatan yang gagal mematuhi keperluan di bawah RMC boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk denda atau penalti kewangan sehingga RM10 juta.
Dalam usaha membanteras penipuan dalam talian, iklan berbayar bagi barangan dan perkhidmatan kini hanya boleh disiarkan oleh pengiklan atau pengguna yang identitinya telah disahkan menggunakan dokumen rasmi kerajaan.
MCMC turut mewajibkan penyedia platform menyesuaikan sistem algoritma, termasuk sistem cadangan kandungan, bagi mengurangkan pendedahan pengguna kepada bahan berbahaya seperti bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM), kandungan lucah dan penipuan kewangan.
Menurut suruhanjaya itu, tempoh pelaksanaan yang munasabah akan diberikan kepada semua penyedia perkhidmatan bagi memastikan proses integrasi sistem pengesahan umur dapat dilaksanakan secara teratur tanpa menjejaskan privasi pengguna.
ONSA mula dikuatkuasakan sepenuhnya pada 1 Januari 2026 bagi memastikan penyedia platform digital memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk mengesan, mencegah dan bertindak pantas terhadap kandungan berbahaya dalam talian. — BERNAMA

![[TERKINI] DUN Johor Bubar Secara Rasmi Hari Ini, Beri Laluan Untuk PRN Ke-16](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://lobakmerah.com/wp-content/uploads/2026/06/collage-4-300x158.png)




