
KEHILANGAN cahaya mata sulung pastinya meninggalkan parut emosi yang mendalam bagi mana-mana wanita, apatah lagi pada usia yang begitu muda.
Mengimbas memori indah sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini, pempengaruh media sosial, Marissa Dania Hakim, 20, berkongsi momen syahdu yang meruntun jiwa netizen ketika menziarahi pusara 'anak syurga' miliknya.

Menerusi hantaran video di aplikasi TikTok, anak kepada selebriti Abby Abadi itu dilihat tenang menjalani rutin Aidiladha dengan menunaikan solat sunat di masjid, menyaksikan ibadah korban dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga tercinta dengsn berkunjung ke rumah ibunta.
Bagaimanapun, suasana bertukar hiba apabila dia melangkah kaki ke kawasan perkuburan bagi melawat pusara bayinya yang telah tiada.
"Dah petang sikit saya ziarah anak syurga saya.
"Kalau diikutkan usianya sekarang sudah setahun enam bulan," luah Marissa ringkas namun penuh emosi pada hantaran tersebut.
Sebagai rekod, Marissa dan suaminya, Ahmad Aslam, terpaksa berdepan ujian berat apabila bayi sulung mereka disahkan meninggal dunia selepas dilahirkan secara pramatang ketika usia kandungan enam bulan.

Perkongsian yang cukup menyentuh hati itu dihujani pelbagai reaksi positif daripada warganet yang rata-ratanya kagum dengan ketabahan Marissa.
Ruangan komen dipenuhi dengan doa, kata-kata semangat, dan kata-kata pujian yang melihat dirinya kini semakin positif menjalani kehidupan seharian.
"Sedihnya bahagian anak syurga itu. Stay strong Marissa, stay elegant. Lawan haters dengan diam dan membuktikan," titip salah seorang netizen.

Sementara itu, seorang lagi pengikutnya mendoakan urusan masa depan Marissa agar terus dipermudahkan: "Ada hikmah atas apa yang jadi semua ini. Lahirnya anak syurga ini, dialah yang akan selamatkan ibunya dekat akhirat nanti. Semoga awak dijauhkan daripada orang-orang toksik dan dikelilingi orang yang boleh membahagiakan awak."
Melihat perubahan positif tersebut, ramai yang berharap agar Marissa terus melangkah ke hadapan dengan tenang, malah ada yang sempat mencadangkan agar dia berkongsi lebih banyak video gaya hidup harian seperti vlog ke kelas atau rutin harian bagi memberi inspirasi kepada pengikut seusianya.




