
ISTANBUL – Arab Saudi pada Isnin mengumumkan pelanjutan penggantungan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh susulan beberapa siri serangan terhadap kemudahan itu, lapor Anadolu Ajansi.
Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam dalam kenyataan memaklumkan bahawa penggantungan operasi itu dilanjutkan bagi melengkapkan prosedur yang diperlukan untuk memastikan keselamatan kemudahan lapangan terbang serta tahap kesiapsiagaan operasinya.
Bagaimanapun, pihak berkuasa itu tidak menyatakan bila operasi lapangan terbang berkenaan akan disambung semula.
Keputusan itu dibuat susulan beberapa serangan terhadap lapangan terbang berkenaan pada hujung minggu.
Pada petang Ahad, satu projektil yang tidak dikenal pasti mengenai Terminal 4 lapangan terbang itu, mengorbankan seorang penduduk warga Pakistan dan mencederakan 11 yang lain, menurut pihak berkuasa Arab Saudi.
Pakatan diketuai Arab Saudi turut memaklumkan bahawa pihaknya berjaya memintas dan memusnahkan sebuah misil krus berhampiran lapangan terbang berkenaan.
Sehari sebelumnya, pada Sabtu, serangan Houthi mengenai terminal penumpang di lapangan terbang itu, mengorbankan 13 orang dan mencederakan 309 yang lain, menurut pihak berkuasa Arab Saudi.
Pakatan diketuai Arab Saudi menuduh Houthi melancarkan serangan pada Sabtu itu dan menyifatkannya sebagai “jenayah perang sepenuhnya”.
Serangan berkenaan berlaku ketika permusuhan antara Arab Saudi dan kumpulan Houthi di Yaman semakin memuncak, dengan lapangan terbang serta kemudahan awam dan tenaga menjadi sasaran serangan sejak beberapa hari kebelakangan ini. – Bernama
The post Penggantungan operasi lapangan terbang Riyadh dilanjutkan appeared first on Kosmo Online.






