Penggantungan PN tidak jejas rundingan dengan BN - Takiyuddin

LocalPolitics
26 Sep 2026 • 12:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penggantungan PN tidak jejas rundingan dengan BN - Takiyuddin
Takiyuddin menyempurnakan simbolik perasmian Karnival Cakna Rakyat DUN Bunut Payung di Lembah Sireh pada Sabtu.

KOTA BHARU - Penggantungan semua aktiviti Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) tidak menjejaskan rundingan kerjasama gabungan itu dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, rundingan dengan BN masih diteruskan dan perkembangan berkaitan RoS tidak mengubah pendirian PN terhadap agenda kerjasama politik berkenaan.

“Saya mengesahkan tidak jejaskan rundingan kerjasama seperti kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menekankan penyatuan ummah.

“Penyatuan Ummah ataupun penyatuan orang Melayu-Islam ini sudah diterima oleh semua majoriti rakyat Malaysia, termasuk kalangan bukan Melayu.

“Sebab penyatuan, perpaduan ini mewujudkan kestabilan. Semua orang nak kestabilan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Cakna Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bunut Payung di Lembah Sireh di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, RoS mengeluarkan perintah penggantungan semua kegiatan PN berkuat kuasa 23 September lalu selepas mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada gabungan itu pada 22 September lalu.

RoS menjelaskan tindakan berkenaan susulan aduan Bersatu.

Takiyuddin berkata, kestabilan turut penting dari sudut ekonomi kerana keadaan politik yang stabil diperlukan bagi memastikan sektor ekonomi dapat berjalan dengan baik.

Mengulas mengenai tahap rundingan dengan BN ketika ini, beliau berkata, ia masih belum dimuktamadkan namun sudah melepasi separuh proses perbincangan.

“Belum diputuskan lagi tetapi rundingan sudah capai tahap lebih daripada 50 peratus,” katanya.

Beliau bagaimanapun menafikan laporan atau dakwaan bahawa PN sudah diberikan tujuh kerusi untuk ditandingi pada PRN Melaka.

“Itu belum putus lagi dan masih dalam perundingan. Tapi positif dan kami optimis dapat melaksanakan agenda penyatuan ummah di Melaka,” katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved