
TAWAU: Penggiat industri kreatif diingatkan supaya tidak terlalu mengejar keuntungan sehingga mengabaikan nilai, sensitiviti agama dan kesan sesuatu kandungan terhadap masyarakat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, perkara itu perlu diberi perhatian serius susulan kontroversi drama Madu Atau Racun yang mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, pengkarya sememangnya perlu mengambil kira aspek komersial dan perniagaan, namun usaha menjana keuntungan tidak seharusnya menyebabkan nilai moral diabaikan dalam sesuatu karya.
“Macam mana pun kita mahu mengkomersialkan sesuatu karya, kita perlu ingat bahawa karya itu juga perlu disertakan dengan nilai. Nilai inilah yang akan memberi kesan sama ada positif ataupun negatif kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Rakan Sulh Komuniti (RSK) Siri Kedua 2026 dan Program Ops Nafkah, di sini hari ini.
Marhamah berkata, pihaknya memahami kegusaran masyarakat dan berharap tindakan sewajarnya termasuk langkah tegas dapat diambil terhadap kandungan babak tidak bermoral itu yang masih boleh diakses di laman sosial lain.
Katanya, beliau sebelum ini hanya mengetahui berhubung enam episod berbaki diturunkan tayangannya manakala enam lagi ditangguhkan bagi membolehkan ia disunting semula.
“Tetapi rupa-rupanya sudah ada beberapa episod yang masih boleh diakses oleh masyarakat. Ini juga kerisauan kita dan harapnya ada tindakan sewajarnya, tindakan tegas yang boleh diambil,” katanya.
Marhamah turut menggesa penggiat industri supaya mematuhi garis panduan yang disediakan JAKIM dan lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat dalam menghasilkan sesuatu karya.
“Kita faham pengkarya mahu memberikan pengajaran dan menunjukkan perkara seperti itu pernah berlaku dalam masyarakat, tetapi tidak semestinya perkara yang tidak perlu itu dipertontonkan kepada umum,” katanya.
Semalam, platform penstriman bersetuju menurunkan sementara enam episod drama Madu Atau Racun yang sudah disiarkan manakala baki enam episod ditangguhkan bagi membolehkan kesemua 12 episod disunting dan dinilai semula.
Kesemua episod berkenaan akan melalui proses suntingan berdasarkan garis panduan Lembaga Penapis Filem (LPF) serta Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) sebelum dinilai semula. –UTUSAN
The post Penggiat drama jangan kejar keuntungan hingga abai moral appeared first on Utusan Malaysia.






