Isu syarikat-syarikat digodam nampaknya tidak akan menemui akhirnya untuk masa ini, tetapi pada kali ini, permintaan daripada pihak penggodam nampaknya agak menarik sekali.
Schneider Electric, syarikat kejuruteraan dan pengurusan bekalan kuasa dari Perancis baru-baru ini telah digodam, dan 40GB data sulit syarikat tersebut telah dicuri oleh kumpulan penggodam tersebut. Ia dilaporkan bahawa data yang telah dicuri termasuklah butiran projek, isu berkenaan projek-projek tertentu dan juga 400 ribu baris data pengguna syarikat tersebut.
Apa yang menarik mengenai serangan godaman ini ialah ia dilaporkan bahawa kumpulan penggodam tersebut telah meminta wang tebusan sebanyak $125,000, tetapi mereka mahu bayaran tersebut dibuat dalam bentuk roti baguette, dan bukan wang tunai ataupun kriptowang.

Kumpulan tersebut memberi amaran lagi bahawa sekiranya permintaan mereka tidak dipenuhi, butiran data yang dicuri tersebut akan disebarkan secara terbuka di web gelap, dimana Schneider Electric akan menghadapi satu lagi masalah besar di tangan mereka.
Walaupun begitu, mereka juga mengatakan bahawa sekiranya syarikat tersebut mengaku bahawa sistem IT mereka telah digodam, kumpulan tersebut akan memotong jumlah wang tebusan yang diminta kepada separuh, tetapi masih akan perlu dibayar dalam bentuk roti.
Beberapa laporan mengatakan bahawa permintaan untuk pembayaran dibuat dalam bentuk roti ini dibuat secara lawak, tetapi isu godaman tersebut adalah benar dan sangat serius.
Buat masa ini, Schneider Electric nampaknya sudahpun mengeluarkan kenyataan tentang sistem mereka digodam, dalam harapan supaya data yang dicuri tidak disebarkan di arena web gelap.



