Penggubal dasar, syarikat platform dan kumpulan pekerja sertai Majlis Perundingan Gig

LocalPolitics
3 Apr 2026 • 2:18 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Dr Mohd Gazali Abas dilantik sebagai pengerusi Majlis Perundingan Gig (MPGig), manakala Shanmugam Thiagarajan serta Ibrahim Baharom @ Abdul Rahim masing-masing dilantik sebagai timbalan pengerusi dan setiausaha, menurut Warta Kerajaan Persekutuan.

Majlis tersebut, yang ditubuhkan di bawah Akta Pekerja Gig 2025, terdiri daripada wakil kerajaan, syarikat platform, kumpulan pekerja dan ahli akademik, mencerminkan struktur tiga pihak yang bertujuan membentuk dasar bagi ekonomi gig.

Pelantikan itu berkuatkuasa mulai 1 April 2026 hingga 31 Mac 2029, berdasarkan warta berkenaan.

Antara anggotanya ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Ketua Seksyen Seksyen Pasaran Buruh Bahagian Fiskal dan Ekonomi Kementerian Kewangan serta Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan Kementerian Ekonomi.

Ia turut diwakili platform termasuk Abdul Rashid Abdul Shukor (Grab), Azrani Rustam (Bolt), Joshua Tan Soo Tjan (Troopers), Abhishek Menon (Lalamove), Francesca Chia Xiat Lin (GoGet) dan Datuk Noor Mohd Maideen (MyCar).

Kumpulan pekerja dan industri membentuk satu lagi segmen majlis ini, dengan penyertaan wakil daripada Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD), M. Nathan; Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM), Masrizal Mahidin; Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia, Mohd Khalil Saleh dan Pertubuhan Kebangsaan Jurubahasa dan Penterjemah Bahasa Isyarat Malaysia (JUPEBIM), Lim Yoke Kwan.

Turut dilantik ialah Persatuan Wartawan Bebas Kuala Lumpur dan Selangor, Norazam Mohammad Nordin dan Persatuan Pemandu E-Hailing OKU Fizikal Malaysia, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Sharizal Abdul Aziz.

Majlis ini turut merangkumi ahli akademik dan pakar dalam bidang masing-maisng seperti Prof Madya Dr Nurhidayah Abdullah, Prof Madya Dr Hazrul Izuan Shahiri, Dr Abdul Rahman Hamdan, Dr Rachel Gong Hui Ngee, dan Farah Nabilah Abdul Rahman.

MPGig merupakan salah satu badan utama yang ditubuhkan di bawah Akta Pekerja Gig 2025, dengan peranan memberi nasihat kepada kerajaan mengenai piawaian pendapatan, struktur pembayaran serta hala tuju dasar bagi ekonomi gig.

Ia berperanan sebagai platform rundingan antara kerajaan, pekerja gig dan entiti kontrak bagi menasihati serta mencadangkan dasar berkaitan sektor berkenaan. - 3 April, 2026

The post Penggubal dasar, syarikat platform dan kumpulan pekerja sertai Majlis Perundingan Gig appeared first on Scoop.