
KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) akan menguatkuasakan dasar ‘kill switch’ kepada semua institusi perbankan bagi membolehkan pengguna mengambil tindakan segera membekukan akaun mereka termasuk kad ATM daripada digunakan sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut bertujuan menangani jenayah penipuan dalam talian atau ‘scam’ yang semakin parah di negara ini.
“Untuk tahun 2022 sahaja, lebih 25,000 jenayah ini direkodkan dengan kerugian sebanyak RM850 juta.
“Walaupun kerajaan telah menubuhkan National Scam Response Centre (NSRC), tetapi belum ada dasar seragam dalam menangani isu ini kerana setiap institusi perbankan mengeluarkan garis panduan masing-masing.
“Bagi mengukuhkan peranan NSRC, sejumlah RM10 juta disediakan bagi geran pengoperasian,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia di Dewan Rakyat pada Jumaat.
MENYUSUL


