
PARIS: Pihak berkuasa Paris melaksanakan tindakan tegas terhadap pengguna skuter elektrik kecil persendirian dengan mewajibkan penggunaan topi keledar dan peralatan pantulan cahaya.
Pelaksanaan itu dibuat susulan peningkatan mendadak kes kecederaan dan kemalangan maut yang melibatkan kenderaan dua roda tersebut.
Peraturan baharu yang mula berkuat kuasa di Paris dan kawasan pinggir kotanya itu terpaksa dikuatkuasakan selepas data keselamatan jalan raya menunjukkan lonjakan ketara kes kecederaan parah pada bahagian kepala.
Langkah ini terpakai kepada semua pengguna peranti mobiliti berenjin selain skuter elektrik, Segway dan hoverboard.
Meskipun perkhidmatan sewaan skuter elektrik telah diharamkan sepenuhnya di ibu kota Perancis itu sejak 2023 atas faktor keselamatan, penggunaan peranti milik persendirian dilaporkan semakin melonjak dan berisiko tinggi.
Menurut data Jabatan Keselamatan Jalan Raya Perancis yang dipetik Polis Paris, angka kematian membabitkan pengguna jalan raya tidak dilindungi terutamanya pengguna peranti mobiliti berenjin, meningkat mendadak daripada 45 kes kepada 79 kes maut.
Selain itu, sekitar 1,100 pengguna skuter elektrik dilaporkan mengalami kecederaan parah pada tempoh yang sama, iaitu peningkatan sebanyak 33 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Berdasarkan peraturan baharu ini, kegagalan memakai topi keledar boleh dikenakan kompaun sebanyak €135 (RM638).
Penunggang yang tidak memakai jaket keselamatan atau peralatan pantulan cahaya berdepan denda €35 (RM165).
Pihak polis menegaskan perintah berkenaan terpakai setiap masa di mana-mana jalan awam.- AFP/AGENSI
The post Pengguna e-skuter elektrik kecil wajib pakai topi keledar appeared first on Utusan Malaysia.
