Pengguna TIME diminta restart router jika masih tiada internet

Technology
15 Apr 2024 • 10:42 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Jika anda pengguna jalur lebar tetap TIME dan tidak dapat bersambung ke internet, TIME meminta anda untuk mematikan dan menghidupkan semula router. Atau bahasa mudahnya, restart router. Ini kerana terdapat gangguan sambungan internet terhadap TIME yang memberi kesan kepada semua penggunanya petang tadi.

Pelayan DNS tidak dapat dihubungi

Menurut TIME, gangguan ini dikesan berlaku mulai pukul 5.38 petang. Masalah ini terjadi akibat pelayan DNS utama dan kedua tidak dapat dihubungi dan dikesan. Apabila pelayan DNS tidak dapat dihubungi, maka pelayar internet atau mana-mana perkhidmatan yang memerlukan DNS tidak akan mencapai laman web yang mahu dilawati.

TIME telah bertindak segera dengan mengubah kepada pelayan DNS sandaran, tetapi ia tidak cukup pantas memberi kesan buruk kepada pengguna. Malah, TIME berasa dukacita kerana tidak dapat memberi maklumat secepat mungkin kepada pengguna tentang masalah ini. Ini kerana laman web TIME tidak dapat dikunjungi, malah TIME lambat mewar-warkannya di media sosial.

Restart router jika masih tiada internet

Gangguan pelayan DNS ini telah dipulihkan sekitar jam 7.12 malam dan TIME menyatakan, perkhidmatan internet mereka telah pulih sepenuhnya pukul 7.35 malam.

Tetapi jika ada pengguna TIME yang masih tidak dapat menggunakan internet, ini kerana router masih cuba berhubung ke pelayan DNS lama dan bermasalah. Dengan mematikan dan menghidupkan semula router, ia akan memperbaiki hubungan dengan pelayan DNS baru dan berfungsi. Ini akan membuatkan perkhidmatan internet pengguna pulih seperti sedia kala.

Setakat ini, TIME hanya menyatakan kekesalan mereka terhadap kelewatan memaklumkan masalah yang terjadi kepada pengguna dan meminta maaf sedalam-dalamnya terhadap bencana yang menimpa. TIME berjanji untuk berkhidmat dengan lebih baik.

Bagaimanapun, TIME masih belum memberitahu saguhati yang akan diberikan kepada pengguna. Antara cadangan yang boleh dilaksanakan TIME untuk meminta maaf kepada pengguna adalah seperti memberi rebat setengah bulan, atau naik taraf kelajuan sebulan, pengurangan kontrak selama sebulan. Pasti perkara sebegini, sedikit sebanyak dapat mengubati duka lara hati pengguna.

[Sumber: TIME]