Penggunaan mekanisasi di ladang sawit masih rendah – MPOB

13 Jun 2023 • 2:29 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penggunaan mekanisasi di ladang sawit masih rendah – MPOB

diyana

13/06/2023 - 14:29

KUALA LUMPUR 13 Jun - Penggunaan mekanisasi di ladang kelapa sawit Malaysia masih rendah iaitu kurang daripada 50% untuk keseluruhan aktiviti lapangan dan kurang daripada 15% untuk penuaian, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata kadar penggunaan yang rendah itu disebabkan cabaran seperti keupayaan sistem dalam persekitaran sukar, kos pelaksanaan tinggi dan kekurangan kepakaran teknikal.

"Oleh itu, usaha tertumpu kepada memanfaatkan kemajuan teknologi Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) seperti dron, robotik, sensor, analisis data raya dan internet benda (IoT).

image is not available
Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir

"Antara pemacu utama untuk meningkatkan mekanisasi adalah keperluan untuk mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing dan meningkatkan penyertaan tempatan dalam industri," katanya pada Persidangan Penanam Antarabangsa ke-10 (IPC 2023), dilaporkan oleh Bernama.

Pada masa ini, industri sawit negara amat bergantung kepada tenaga kerja asing, terutamanya untuk aktiviti penyelenggaraan dan penuaian buah tandan segar.

Ahmad Parveez menekankan bahawa peningkatan penggunaan mekanisasi dan pembangunan tenaga kerja tempatan yang mahir akan membantu industri sawit mengatasi kekurangan buruh dan meningkatkan produktiviti secara keseluruhan.

Beliau berkata, mekanisasi dapat meningkatkan kecekapan, produktiviti dan kemampanan di ladang kelapa sawit.

Dalam usahanya untuk mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing, MPOB telah menjalankan penyelidikan dan pembangunan secara agresif serta memperkenalkan teknologi baharu bagi memudahkan kerja-kerja lapangan serta meningkatkan kecekapan perladangan dan prestasi buruh.

Senarai ciptaannya termasuklah Hydra-Porter, jentera pengangkut buah tandan segar empat roda berkuasa hidraulik; alat penuaian seperti Cantas dan Cantas Electro, Grabber, Beluga, kenderaan dilengkapi dengan sistem penyembur berasaskan sensor dan alat pengangkat mudah alih untuk buah tandan segar. -DagangNews.com