
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan bahawa pemandu tidak akan dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana menggunakan pelindung matahari (sunshade) boleh tanggal pada tingkap kenderaan, selagi mana aksesori tersebut tidak menghalang penglihatan semasa memandu.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terdahulu yang mengatakan bahawa penggunaan window blinds boleh tanggal, langsir dan bidai yang dipasang pada tingkap kenderaan ketika sedang bergerak boleh dianggap sebagai satu kesalahan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor 1991.
Baca Artikel Berkaitan: Betul Ke Tak Boleh Pakai Window Blinds & Tirai Dalam Kereta? [Video]
Guna Sunshade Boleh Tanggal Atau Langsir Memang Satu Kesalahan
Di bawah Peraturan-Peraturan Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991, penggunaan sunshade boleh tanggal, langsir atau sebarang penutup tingkap ketika kenderaan sedang bergerak diklasifikasikan sebagai satu kesalahan.
Tidak Akan Lakukan Penguatkuasaan Aktif Kecuali Halang Pandangan Pemandu
Walaupun mengakui peraturan tersebut memang wujud, Loke berkata pihak berkuasa tidak akan melaksanakan penguatkuasaan secara aktif kecuali dalam keadaan yang menjejaskan tahap penglihatan pemandu.
“Kementerian tidak menguatkuasakan peraturan terhadap penggunaan pelindung matahari yang tidak menghalang penglihatan pemandu dan Kementerian Pengangkutan juga tidak pernah mengarahkan JPJ untuk menguatkuasakan peraturan tersebut.
“Ketua Pengarah JPJ juga tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penggunaan pelindung matahari,” katanya semalam (18 Jun).
Penguatkuasaan Lebih Fokuskan Kesalahan Jalan Raya Lebih Penting Termasuklah Memandu Bawah Pengaruh Alkohol
Sementara itu, Loke berkata keutamaan penguatkuasaan pada waktu ini lebih tertumpu kepada kesalahan jalan raya yang lebih serius sebagai contoh kegiatan lumba haram, mat rempit, memandu di bawah pengaruh alkohol dan pemanduan secara melulu.
Perlu Guna VLT Yang Diluluskan JPJ Jika Mahu Tinted Tingkap Kenderaan
Memetik NST, isu penggunaan sunshade mula mendapat perhatian selepas JPJ mengingatkan pengguna jalan raya bahawa langsir, bidai dan penutup tingkap lain boleh menimbulkan risiko keselamatan kerana ia mengehadkan keupayaan pemandu untuk memerhati keadaan trafik, pejalan kaki serta jalan raya.
Dalam masa sama, JPJ turut menegaskan bahawa tingkap kenderaan perlu mematuhi syarat tahap ketelusan penglihatan yang ditetapkan di bawah peraturan sedia ada.
Pemasangan cermin gelap (tinted) pula dibenarkan dengan syarat menggunakan Kadar Ketelusan Cahaya (VLT) yang diluluskan iaitu:
- Cermin hadapan kenderaan 70%
- Cermin tepi sisi kiri kanan pemandu 50%
Ramai Pakai Window Blinds Kerana Cuasa Panas & Haba Bahang Di Malaysia
Seperti semua sedia maklum, penggunaan sunshade atau window blinds boleh tanggal adalah sesuatu yang dilihat lazim di kalangan masyarakat kerana cuaca Malaysia yang panas dan bahang.
Buat masa ini, pemandu boleh terus menggunakan pelindung matahari tanpa perlu bimbang dikenakan tindakan. Dengan syarat, aksesori kereta itu tidak mengganggu penglihatan pemandu atau menjejaskan keselamatan jalan raya.




