
KUALA LUMPUR - Penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam bakal dihentikan susulan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu memastikan maklumat kerajaan dan data peribadi rakyat tidak terdedah kepada risiko penyalahgunaan.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, langkah itu diambil berikutan latar belakang Waze Mobile Ltd., yang diperbadankan serta menjalankan operasi tertakluk kepada undang-undang Israel.
Menurut PMO, pendedahan maklumat sensitif kerajaan dan data peribadi rakyat kepada pihak yang berpotensi menyalahgunakannya boleh membawa implikasi terhadap keselamatan serta kedaulatan negara.
Sehubungan itu, Anwar turut menggesa rakyat Malaysia supaya mempertimbangkan penggunaan aplikasi navigasi alternatif keluaran tempatan, termasuk TuJu, yang menawarkan perlindungan terhadap keselamatan dan data peribadi pengguna.
PMO menegaskan, kerajaan akan terus mengambil langkah bagi menghalang sebarang kemungkinan yang boleh dimanfaatkan oleh rejim Israel untuk mengancam keselamatan negara dan rakyat. - Getaran, 21 Oktober 2026





