
MELAKA – Polis mengklasifikasikan kes kematian seorang penghantar barang berusia 21 tahun yang cedera parah ketika menghadiri persembahan muzik (gig) di sebuah kafe baru-baru ini sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas, sebelum ini kejadian yang berlaku pada Sabtu lalu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan sebelum diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia pada 21 Oktober lalu, empat hari selepas mengalami kecederaan serius di bahagian belakang kepala dalam kejadian pada 17 Oktober.
Katanya, pada hari kejadian mangsa yang yang bekerja sebagai penghantar barang dilaporkan cedera ketika berada di kafe berkenaan dan dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Melaka sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 3.53 petang, pada Rabu lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Halim menjelaskan susulan kes itu polis menahan 10 individu berusia antara 18 hingga 25 tahun bagi membantu siasatan.
Dalam perkembangan berkaitan, acara gig yang diadakan di sebuah kafe di Kampung Jawa itu dilaporkan tidak mempunyai permit daripada pihak polis mahupun kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Polis kini masih menjalankan siasatan lanjut berhubung penganjuran acara itu,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial Threads mengenai kes yang menimpa mangsa sehingga meragut nyawanya sekali gus mencetuskan perhatian terhadap kejadian yang berlaku ketika acara muzik itu berlangsung.
Difahamkan, insiden berlaku ketika mangsa dikatakan membuat aksi mosh/spinkicik (tendangan berputar) ketika acara muzik berlangsung, namun tersasar dan terjatuh, yang menyebabkan kecederaan.
The post Penghantar barang maut ketika acara muzik gig disiasat kes bunuh appeared first on Kosmo Online.






