
TAWAU: Golongan penghantar barang (riders) dan pemandu e-hailing adalah kumpulan masyarakat yang wajar disantuni dan tidak boleh dipandang sebelah mata, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah, Datuk Rina Jainal.
Ini kerana, katanya, mereka cukup bekerja keras dalam memberikan perkhidmatan yang secara sedar atau tidak sedar memudahkan urusan masyarakat tidak kira pentadbiran pejabat mahupun perniagaan.
“Meskipun ada segelintir pihak memandang rendah usaha mereka, namun perkhidmatan riders yang membuat perkhidmatan menghantar makanan, barangan kurier dan sebagainya, memudahkan pelbagai urusan bagi yang memerlukan,” katanya.
Adun Kukusan itu berkata demikian selepas majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada 42 riders dari Kukusan dan Tawau, di salah sebuah restoran terkemuka di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau berharap sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban mereka untuk persiapan menyambut Hari Raya, kerana sedar tidak semuanya datang daripada golongan bernasib baik.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga sentiasa membantu pelbagai golongan rakyat, termasuk riders menerusi program Sentuhan Kasih Rakyat 2025 (Syukur), yang merupakan satu bentuk bantuan kebajikan untuk menyokong rakyat yang menghadapi kesukaran kewangan.
Begitu juga, katanya, dengan program-program bantuan kepada pengusaha muda, memandangkan kebanyakan riders turut membuat perusahaan ataupun perniagaan kecil-kecilan untuk memperoleh pendapatan sampingan.
Justeru, katanya, menerusi majlis tersebut, pihaknya mengambil peluang menyampaikan maklumat berkenaan bantuan daripada kerajaan negeri kepada mereka yang hadir, termasuk mendaftarkan penyertaan mereka dalam Kelab Kebajikan Komuniti Rina Jainal atau KERJA.
Menurutnya, KERJA merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah naungan beliau dan berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), bertujuan membantu komuniti di Kukusan dan sekitarnya.
Menurutnya, KERJA kini mempunyai lebih 60 cawangan yang dianggotai antara 30 hingga 50 orang setiap satu bagi memenuhi keperluan kebajikan sesebuah komuniti memerlukan.



