
BANGI – Pengiktirafan Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA) terhadap Program Diploma in Accounting (AA101) Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) dilihat mampu memperkukuh kebolehpasaran graduan dalam memenuhi keperluan tenaga kerja profesional bidang perakaunan.
Pengiktirafan itu bukan sahaja memberi nilai tambah kepada kelayakan akademik pelajar, malah membuka laluan untuk mereka melanjutkan pengajian ke peringkat profesional dan seterusnya memasuki pasaran pekerjaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB), Radzuan Razali berkata, hubungan lebih rapat antara institusi pendidikan dengan badan profesional penting bagi memastikan graduan yang dilahirkan memiliki kemahiran bersesuaian dengan keperluan industri.

“Bagi KPTMSB, pendidikan bukan sekadar menyediakan kelayakan akademik, tetapi memastikan pelajar memperoleh pengetahuan, kemahiran dan pendedahan yang relevan untuk menghadapi dunia pekerjaan sebenar.
“Kerjasama dengan MICPA ini memperkukuh usaha tersebut dengan memberikan nilai tambah kepada program serta laluan yang lebih jelas kepada pelajar untuk membina kerjaya dalam bidang perakaunan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Kerjasama Strategik dan Pengiktirafan MICPA bagi Program Diploma in Accounting (AA101) KPTMSB di Dewan Besar KPTM Bangi kelmarin.
Majlis itu turut menyaksikan pemeteraian kerjasama strategik antara KPTMSB dan MICPA yang memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dengan badan profesional.

Menurut Radzuan, kerjasama berkenaan turut memberi peluang kepada KPTMSB untuk meluaskan kerjasama dalam pembangunan akademik, perkongsian kepakaran dan pengukuhan profesionalisme pelajar.
“Kita mahu graduan KPTM bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, tetapi turut mempunyai keyakinan untuk melangkah ke peringkat profesional dan bersedia memenuhi tuntutan industri yang sentiasa berubah,” katanya.
Pengiktirafan MICPA itu dijangka turut meningkatkan keyakinan pelajar dan ibu bapa selain menarik lebih ramai lepasan sekolah memilih bidang perakaunan sebagai laluan pendidikan dan kerjaya. -KOSMO! ONLINE
The post Pengiktirafan MICPA perkukuh kebolehpasaran graduan appeared first on Kosmo Online.

