Kursus perakaunan KPTM diiktiraf

LocalBusiness & Finance
10 Sep 2026 • 3:24 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kursus perakaunan KPTM diiktiraf

PETALING JAYA: Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) menerima pengiktirafan Institut Akauntan Bertauliah Malaysia (MICPA) melibatkan program Diploma Perakaunan sekali gus memberi nilai tambah kepada laluan kerjaya pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat profesional dalam bidang perakaunan.

Ketua Pegawai Eksekutif KPTM, Radzuan Razali berkata, pengiktirafan itu juga memperkukuh usaha institusi bagi menyediakan peluang kepada pelajar untuk membina kerjaya dalam bidang perakaunan.

Malah katanya, kerjasama strategik dengan MICPA sekaligus mencerminkan komitmen institusi dalam memastikan program akademik yang ditawarkan kekal relevan, dinamik dan selaras dengan keperluan semasa industri.

“Bagi KPTM, pendidikan bukan sekadar menyediakan kelayakan akademik, tetapi turut memastikan pelajar memperoleh pengetahuan, kemahiran dan pendedahan yang relevan bagi mempersiapkan diri menghadapi realiti dunia pekerjaan.

“Kerjasama kami dengan MICPA memperkukuh usaha ini dengan memberikan nilai tambah kepada program berkenaan serta menyediakan laluan yang lebih jelas kepada pelajar untuk membina kerjaya dalam bidang perakaunan.

“Kami mahu graduan KPTM bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, tetapi turut mempunyai keyakinan untuk melangkah ke peringkat profesional serta bersedia memenuhi tuntutan industri yang sentiasa berubah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Radzuan berkata, pengiktirafan MICPA turut meningkatkan nilai kelayakan pelajar yang mengikuti Program Diploma Perakaunan (AA101), khususnya dalam meningkatkan keyakinan mereka untuk memasuki alam pekerjaan serta melanjutkan pengajian profesional selepas menamatkan diploma.

Menurutnya, kerjasama itu juga membuka ruang kepada KPTM dan MICPA untuk memperluas bidang kerjasama merangkumi pembangunan akademik, perkongsian ilmu dan kepakaran serta usaha memperkukuh profesionalisme dalam bidang perakaunan.

Menurut Radzuan, pengiktirafan berkenaan juga dapat memastikan program perakaunan yang ditawarkan KPTM mempunyai pengiktirafan tertinggi dalam bidang berkenaan di negara ini.

“Ini memastikan apa yang KPTM tawarkan kepada pelajar perakaunan mendapat pengiktirafan tertinggi di negara ini dan kami berharap lebih ramai pelajar memilih kursus perakaunan yang ditawarkan,” katanya. – UTUSAN

The post Kursus perakaunan KPTM diiktiraf appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved