“Penginapan, makanan disedia percuma” – Masjid Ini Bayar Cecah Lima Angka Untuk Imam Solat Tarawih

Entertainment
3 Mar 2025 • 1:49 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Bulan Ramadan merupakan bulan yang terbaik bagi seorang hamba yang mahu melipat gandakan amalan soleh. Antara yang ditunggu-tunggu adalah solat tarawih berjemaah di masjid.

Disebabkan itu, Masjid Tengku Muhammad Faris Petra di Bandar Kuala Krai, Kelantan sanggup mengeluarkan belanja mencecah lima angka setiap kali Ramadan untuk membayar imam solat tarawih.

Bagaimanapun, Imam Satu, Ahmad Maher Safiain menyatakan, untuk menggalas tanggungjawab itu individu tersebut perlu menepati kriteria utama iaitu mempunyai suara merdu dan ‘gagah’, serta bertaranum dengan baik bagi memukau para jemaah.

image is not available

“Ini yang penting kerana sepanjang bulan yang penuh rahmat dan pahala berganda ini, kami mahu bacaan imam sepanjang solat tarawih dapat menyentuh jiwa para jemaah.

“Ia secara tidak langsung menjadi daya tarikan mereka untuk datang ke masjid dan menggandakan amalan,” katanya.

Penginapan, makanan, kenderaan disediakan percuma

Dari segi kadar bayaran pula, Masjid Tengku Muhammad Faris Petra menetapkan angka khas iaitu RM6,000 namun jumlah tersebut berganda sehingga mencecah lima angka kerana para jemaah akan menyumbang serta bersedekah dengan niat berkongsi rezeki dengan imam tarawih.

“Biasanya kita ada buka Tabung Ihya Ramadan untuk jemaah bersedekah dan ia juga akan diberikan kepada imam tarawih. Dari segi penginapan, makanan serta kenderaan pula, semuanya disediakan secara percuma kepada imam tarawih berkenaan,” katanya.

Selain itu, walaupun sering mendapat permohonan individu dari luar negara seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan Mesir disebabkan bayaran yang lumayan, masjid ini tetap mengutamakan imam daripada kalangan hafiz Al-Quran tempatan berbanding imam import.

Alhamdulillah, itulah yang sepatutnya kan!

Sumber: Sinar Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.