
KUALA LUMPUR – Salah seorang pengiring Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sedang disiasat selepas didakwa menyerang seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) di sebuah hotel semalam, lapor media.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dipetik Free Malaysia Today berkata kes disiasat mengikut Seksyen 323 kerana menyebabkan kecederaan sukarela.
“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 323 (kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan).
“Belum ada tangkapan lagi, jadi kami tidak tahu mengapa lelaki itu diserang. Malah lelaki kurang upaya yang membuat laporan itu tidak pasti mengapa dia diserang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Shuhaily bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya sama ada pengadu masih dirawat di hospital.
Sementara itu, Bernama melaporkan seorang lelaki OKU yang mengalami masalah pendengaran dan bisu mendakwa dipukul pengawal peribadi seorang kenamaan ketika menunggu penumpang di sebuah hotel di Brickfields, semalam.
Laporan itu menyebut, pemandu e-hailing berusia 46 tahun itu mendakwa ditumbuk di kepala dan diminta untuk mengalihkan kenderaannya dari lobi hotel berkenaan. – Getaran, 29 Mei, 2024
