KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka didakwa di mahkamah esok, berhubung kesalahan berkaitan pengisytiharan aset.
Pendakwaan itu adalah sebahagian daripada perkembangan terbaharu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyaksikan rampasan kira-kira RM177 juta dalam bentuk wang tunai dan emas.
Beliau dijangka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada jam 9 pagi, esok.
Perkara tersebut disahkan peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad hari ini.
Prosiding berkenaan adalah kali pertama bekas Perdana Menteri itu dibawa ke mahkamah jenayah secara langsung berkaitan siasatan tersebut.
Siasatan SPRM itu melibatkan dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Ismail Sabri serta beberapa bekas pegawai kanannya.
Dalam serbuan yang dijalankan pada 2025, SPRM dilaporkan merampas kira-kira RM170 juta wang tunai dalam pelbagai mata wang asing, selain 16 kilogram jongkong emas tulen bernilai kira-kira RM7 juta.
Rampasan dibuat dalam beberapa serbuan terhadap kediaman dan pejabat yang mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri berkenaan serta pegawai-pegawai kanannya.
Empat pegawai kanan Ismail Sabri turut ditahan pada Februari 2025 bagi membantu siasatan.
Jumlah aset yang dirampas dalam operasi berkenaan menjadikan kes itu antara siasatan antirasuah berskala besar melibatkan seorang bekas Perdana Menteri Malaysia.
Bagaimanapun, pertuduhan yang dijangka dikemukakan esok adalah khusus berkaitan pengisytiharan aset.
Ia tidak bermaksud Ismail Sabri akan berdepan pertuduhan rasuah atau pengubahan wang haram melalui pendakwaan tersebut.
Sebelum ini, Ismail Sabri telah beberapa kali dipanggil SPRM bagi memberikan keterangan berhubung pengisytiharan asetnya, sebelum agensi antirasuah itu memuktamadkan siasatannya.
Prosiding pertuduhan terhadap beliau pada asalnya dijadualkan berlangsung 7 Ogos lalu, namun ditangguhkan selepas beliau dimasukkan ke hospital susulan masalah kesihatan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin kemudiannya menetapkan jam 9 pagi, 27 Ogos untuk pertuduhan dibacakan dan pengakuan Ismail Sabri direkodkan.
Ketika membenarkan penangguhan berkenaan, beliau berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira keadaan kesihatan tertuduh serta permohonan pihak pembelaan yang dipersetujui pihak pendakwaan.
Amer Hamzah sebelum ini memaklumkan, Ismail Sabri mengalami masalah kesihatan ketika memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM pada 6 Ogos.
Beliau kemudiannya menjalani prosedur pemasangan perentak jantung tanpa wayar (leadless pacemaker) bagi merawat masalah rentak jantung yang tidak normal.
Ismail Sabri kini masih berada di bawah jaminan SPRM dan peguamnya sebelum ini memaklumkan, tiada kebimbangan beliau akan melarikan diri.
Bekas Naib Presiden UMNO itu merupakan Perdana Menteri Malaysia kesembilan, yang memegang jawatan terbabit dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Beliau bagaimanapun masih menyandang portfolio Ahli Parlimen Bera. - Getaran, 26 Ogos 2026






