Penglibatan pemaju rumah dalam pusat data jamin pendapatan berulang, naikkan nilai tanah - MIDF Research
herman
07/06/2024 - 09:49
KUALA LUMPUR 7 Jun - Penglibatan syarikat pemaju hartanah dalam perniagaan pusat data akan membolehkan mereka meraih pendapatan berulang baharu sekali gus menyokong pertumbuhan pendapatan dalam jangka panjang.
Menurut MIDF Research, terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk pusat data di Malaysia yang mendorong beberapa syarikat hartanah menceburi industri pusat data baru-baru ini.
"Kami melihat usaha niaga pusat data oleh syarikat hartanah secara positif kerana ia meningkatkan nilai bank tanah dan meningkatkan pendapatan berulang dalam bentuk sewaan atau perkongsian keuntungan perniagaan pusat data.
"Kami percaya bahawa pendapatan yang diperoleh daripada pusat data harus kekal stabil berikutan permintaannya yang semakin meningkat di Malaysia," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurutnya, Mah Sing Group baru-baru ini mengumumkan bahawa ia telah memeterai perjanjian kerjasama dengan Bridge Data Centers (BDC) untuk usaha sama pembangunan kemudahan dan infrastruktur pusat data di atas tanah seluas 17.55 ekar di Southville City, Bangi.
"Begitu juga, UEM Sunrise telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan LOGOS Infrastructure Holdco Pte Ltd untuk meneroka peluang membangunkan kampus pusat data di Gerbang Nusajaya, Johor.
"Sementara itu, Sime Darby Property mengumumkan bahawa ia sedang membangunkan pusat data hiperskala di tapak seluas kira-kira 49 ekar di Elmina Business Park untuk sebuah syarikat teknologi multinasional," ujarnya.
Firma penyelidikan itu dalam masa sama mengekalkan saranan Positif terhadap sektor hartanah ekoran permohonan pinjaman pada April 2024 menunjukkan permintaan yang lebih kukuh terhadap hartanah.
Katanya, prospek bagi sektor hartanah terus positif dengan penurunan berterusan dalam overhang atau kediaman tidak terjual pada suku pertama tahun 2024 yang berada pada tahap terendah sejak 2018 yang seharusnya menyokong minat pembelian hartanah.
"Oleh itu, kami mengekalkan sikap Positif kami terhadap sektor hartanah. Pilihan utama kami untuk sektor ini adalah Mah Sing Group (BELI, TP: RM1.83) dan Matrix Concepts (BELI, TP: RM2.00).
"Kami menyukai Mah Sing kerana kami yakin dengan prospek jangka panjangnya berdasarkan pendedahan yang kuat kepada segmen kediaman yang berpatutan.
"Selain itu, usahanya dalam pusat data akan mendorong pertumbuhan pendapatan dalam jangka panjang. Kedudukan kewangan Mah Sing adalah kuat dengan kadar hutang bersih rendah sebanyak 0.06x," ujarnya.
Sementara itu, pihaknya menyukai Matrix Concepts kerana pertumbuhan pendapatannya yang positif dan prospek penjualan baru yang lebih baik dengan penjualan baru dari Bandar Sri Sendayan yang tetap kukuh, didorong oleh permintaan yang sihat untuk rumah teres yang berpatutan.
"Selain itu, pembelian tanahnya di Labu dijangka akan selesai pada Oktober dan akan lebih mendorong pertumbuhan pendapatan selepas FY27. Hasil dividen Matrix Concepts juga adalah menarik pada 5.5%," jelasnya. - DagangNews.com



