Pengorbanan ibu, inspirasi tiga beradik genggam ijazah di UMT

Family & Parenting
28 Oct 2026 • 6:38 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pengorbanan ibu, inspirasi tiga beradik genggam ijazah di UMT

Kejayaan Nurul Nabilah Jamaludin menamatkan pengajian dalam Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian di Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-24 baru ini  melengkapkan legasi pendidikan keluarganya apabila beliau mengikuti jejak dua orang kakaknya yang turut bergelar graduan universiti berkenaan.

Nurul Nabilah, anak bongsu daripada empat beradik, merupakan graduan ketiga dalam keluarganya yang menamatkan pengajian di UMT.

Kakaknya, Nurul Jannah , merupakan graduan Sarjana Muda Sains (Matematik Komputasi) tahun 2009 dan kini berkhidmat sebagai guru matematik di sebuah sekolah di Sunga Petani, manakala

Nurul Nadiah Jamaludin, graduan dalam bidang yang sama pada tahun 2011, kini merupakan guru dan pengusaha pusat tuisyen di Sungai Petani.

Pengalaman positif kedua-dua kakaknya sepanjang menuntut ilmu di UMT, termasuk kemudahan fasiliti yang lengkap, turut mendorong Nurul Nabilah memilih universiti berkenaan untuk melanjutkan pengajian.

“Pengalaman positif yang dikongsikan oleh kedua-dua kakak sepanjang pengajian di UMT, termasuk kemudahan fasiliti yang lengkap, penerapan nilai murni berteraskan budaya ketimuran serta persekitaran kampus yang menitikberatkan aspek keselamatan dan kebajikan pelajar, meningkatkan keyakinan Nabila untuk memilih UMT sebagai destinasi pengajian tinggi.

“Perkongsian tersebut bukan sahaja mencetuskan keterujaan, malah mengukuhkan tekadnya untuk mengikuti jejak kedua- dua kakak dan mencipta kejayaan tersendiri di universiti ini,” katanya.

Di sebalik kejayaan tiga beradik ini, tersimpan pengorbanan ibu mereka, Norzita Mahdzir, seorang kerani di Majlis Perbandaran Sungai Petani yang gigih membesarkan empat orang anak seorang diri selepas kehilangan suami pada tahun 2012.

Sebagai ibu tunggal, Norzita sentiasa meletakkan pendidikan sebagai keutamaan dan memastikan anak-anaknya mendapat peluang untuk membina masa depan yang lebih baik. Ketabahan beliau mengharungi kehidupan demi masa depan anak-anak menjadi antara asas kepada kejayaan keluarga tersebut.

Kejayaan tiga beradik menamatkan pengajian di universiti yang sama bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga, malah mencerminkan pentingnya sokongan keluarga dan pendidikan dalam membentuk masa depan generasi muda.

Bagi Nurul Nabilah, kejayaan menggenggam ijazah ini bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi turut menjadi penghargaan terhadap pengorbanan ibunya serta kesinambungan legasi pendidikan yang dibina oleh kedua-dua kakaknya.

Kisah keluarga berkenaan membuktikan bahawa di sebalik kejayaan seorang graduan, terdapat pengorbanan, dorongan dan keyakinan keluarga yang menjadi sumber kekuatan untuk melangkah lebih jauh dalam kehidupan. –UTUSAN

The post Pengorbanan ibu, inspirasi tiga beradik genggam ijazah di UMT appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved