
TAWAU: Hujan lebat berterusan selama beberapa hari di Sabah telah menyebabkan banjir dan tanah runtuh hingga merosakkan bekalan elektrik serta menjejaskan tenaga di pelbagai daerah.
Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kiulu, Datuk George Teo berkata, juruteknik Sabah Electricity (SE) segera dikerahkan ke lokasi dan bekerja tanpa henti dalam keadaan berbahaya demi memulihkan bekalan.
Katanya, baru-baru ini seorang petugas SE di Keningau dihanyutkan arus deras ketika bertugas sebelum ditemui lemas, satu peringatan menyentuh hati mengenai risiko besar yang dihadapi pasukan barisan hadapan, khususnya SE.
“Dalam saat genting ini, perpaduan dan sokongan terhadap mereka yang mempertaruhkan nyawa seharusnya menjadi keutamaan.
“Namun, segelintir pemimpin pembangkang memilih memanipulasi tragedi ini demi kepentingan politik, menyerang kerajaan sambil mengabaikan pengorbanan kakitangan teknikal,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, retorik sebegitu tidak membantu memulihkan bekalan, malah melemahkan semangat mereka yang bertugas dalam tekanan ekstrem.
Jelasnya, cabaran tenaga di Sabah telah lama wujud dan bukan isu yang boleh diselesaikan dengan slogan semata-mata.
George berkata, seruan untuk mogok lapar dan aksi publisiti lain hanya mengalihkan perhatian daripada usaha pemulihan sebenar.
“Masyarakat awam seharusnya mengiktiraf usaha kakitangan SE yang terus berusaha memulihkan bekalan elektrik di Sabah, khususnya ketika bencana alam berlaku.
“Dalam keadaan ini, tindakan dan solidariti jauh lebih bermakna daripada sandiwara politik,” katanya.



