Kerajaan Sabah batal sambutan Hari Malaysia

LocalPolitics
15 Sep 2025 • 5:33 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Kerajaan Negeri Sabah mengumumkan pembatalan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri yang sepatutnya berlangsung di Padang Merdeka esok malam berikutan krisis bencana besar akibat hujan berterusan yang menjejaskan sekurang-kurangnya tujuh daerah di negeri itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata keputusan itu telah dimaklumkan kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, hari ini.

“Keutamaan segera Kerajaan Negeri adalah untuk mengurus krisis, menyelaras usaha pemulihan dan memastikan operasi menyelamat dilaksanakan dengan pantas bagi komuniti yang terjejas.

“Dalam waktu sukar ini, kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan rakyat adalah paling utama. Segala fokus dan sumber mesti ditumpukan kepada mereka yang terkesan,” katanya dalam satu kenyataan.

Baca juga:

Hajiji turut mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri supaya sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya serta bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan, memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu masih berlanjutan.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, akan mempengerusikan mesyuarat khas bagi memantau perkembangan dan menyelaras tindakan segera di daerah-daerah terlibat.

Dalam pada itu, Hajiji menyeru orang ramai agar terus berwaspada, mematuhi arahan keselamatan dan memberi kerjasama penuh kepada pasukan penyelamat ketika usaha menyelamat sedang giat dipergiatkan di seluruh negeri.