
SHAH ALAM, 11 JUN: Pelari menara negara Soh Wai Ching mengakui usaha dan pengorbanannya melalui latihan selama lapan tahun dalam sukan berkenaan berbaloi apabila dinobatkan sebagai Olahragawan Selangor 2024.
Atlet berusia 30 tahun itu menyifatkan pengiktirafan anugerah yang diterimanya untuk dua tahun berturut-turut menjadi pemangkin motivasi untuk terus melakar kejayaan mengharumkan nama Selangor mahupun negara.

“Saya bertungkus-lumus setiap hari selama lapan tahun, berlatih menaiki tangga. Pernah hampir putus asa kerana tekanan mental yang tinggi, namun semua itu berbaloi apabila saya akhirnya bergelar juara dunia.
“Saya amat bersyukur dengan pengiktirafan ini. Dua tahun berturut-turut sebagai Olahragawan Selangor satu penghormatan besar,” katanya kepada media ketika ditemui pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini, semalam.
Atas kemenangan itu, Wai Ching membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, piala iringan dan sijil yang disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Ditanya mengenai perkembangan seterusnya, Wai Ching memberitahu beliau meletakkan sasaran memecah Guinness World Records bagi cabaran pendakian mesin tangga dalam sebuah acara yang dianjurkan di Bandar Utama pada Julai depan.
“Rekod sekarang dipegang oleh pelari dari Sepanyol dengan jarak 1.704km. Saya menyasarkan untuk merekod jarak 1.701km dalam tempoh sejam,” kongsinya.

Bagi penerima Anugerah Olahragawati Selangor Nor Farah Ain Abdullah, beliau tidak menyangka akan menerima anugerah berprestij itu memandangkan ramai atlet hebat lain turut menyumbang bakti kepada arena sukan negeri Selangor.
“Saya tak jangka boleh menang anugerah ini kerana kalau ikutkan, ramai lagi calon atau pemain terbaik peringkat negeri dan nasional.
“Sepanjang 10 tahun menjadi atlet Selangor, terlalu banyak pengorbanan saya curahkan antaranya masa belajar, latihan dan wang ringgit,” katanya yang turut dinobat sebagai Olahragawati Kebangsaan di Anugerah Sukan Negara 2024 baru-baru ini.
Mengulas mengenai kecederaan yang dialami pada bahu kanan, jaguh boling padang negara memaklumkan ia menunjukkan perkembangan positif sejak tiga minggu lalu.
“Saya kini masih dalam proses rehabilitasi untuk menguatkan semula bahu kanan kerana saya menyasarkan untuk beraksi dalam Kejohanan Boling Dunia yang akan diadakan pada November. Saya akan mulakan latihan pada awal Julai ini,” katanya yang kini berada di ranking nombor satu dunia.

The post Pengorbanan lapan tahun Wai Ching berbaloi, dinobat Olahragawan Selangor kali kedua appeared first on Selangorkini.

