
Kota Kinabalu: Seorang pesara pegawai Jabatan Keretapi Negeri Sabah berusia 62 tahun dibebaskan daripada lima pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM195,000.
Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat membuat perintah itu terhadap Ismail Ahmad, selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah terhadap Ismail pada Jumaat.
Dengan itu, mahkamah melepas dan membebaskan Ismail daripada lima pertuduhan terhadapnya.
Bagi pertuduhan pertama hingga kelima, Ismail yang ketika itu merupakan Ketua Jurutera Awam Jabatan Keretapi, didakwa memiliki wang sebanyak RM9,900, RM145,100, RM20,000, RM10,000 dan RM10,000 yang didakwa dikutip daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Wang itu dikatakan ditemui dalam akaun bank Ismail dan akaun bank anak-anaknya.
Kesalahan itu didakwa berlaku di Maybank di di sini dan di Putatan, antara Jan dan Julai 2016.
Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Kira-kira 24 saksi dipanggil semasa perbicaraan peringkat pendakwaan dan hanya seorang saksi pembelaan memberi keterangan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nartiah F.M Sambatan menjalankan pendakwaan, sementara peguam P.J Perira dan Dominic Chew mewakili Ismail serta isteri-isterinya.
Mahkamah memerintahkan wang jaminan dikembalikan kepada Ismail.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

