Pengubahan Wang Haram: Bekas Pengarah Jabatan Air Sabah Dipenjara 8 Tahun, Didenda RM284.3 Juta

LocalPolitics
19 May 2026 • 2:08 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pengubahan Wang Haram: Bekas Pengarah Jabatan Air Sabah Dipenjara 8 Tahun, Didenda RM284.3 Juta

KUALA LUMPUR  — Mahkamah Khas Rasuah di Kota Kinabalu hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun serta denda RM284.3 juta terhadap bekas Pengarah Jabatan Air Sabah, Ag Mohd Tahir Mohd Talib, selepas beliau didapati bersalah atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan aktiviti haram.

Hakim Abu Bakar Manat memutuskan tertuduh bersalah dan menjatuhkan keseluruhan hukuman penjara berjumlah 96 tahun. 

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan semua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan, menyebabkan Ag Mohd Tahir, 63, hanya perlu menjalani hukuman penjara selama lapan tahun.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama 78 bulan sekiranya gagal melunaskan denda yang dikenakan.

Walaupun disabitkan bersalah, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan.

Kes tersebut dianggap antara sabitan pengubahan wang haram paling berprofil tinggi di Malaysia yang melibatkan pegawai kanan kerajaan, dan dakwaan kekayaan luar biasa serta penyalahgunaan kuasa dalam Jabatan Air Sabah.

Dalam penghakimannya, Hakim Abu Bakar berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, khususnya berkaitan elemen utama kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurut beliau, penjelasan yang diberikan Ag Mohd Tahir ketika membela diri hanyalah “idea selepas kejadian” yang timbul selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan serbuan dan pemeriksaan di pejabat, kediaman serta kenderaan miliknya.

“Mahkamah mendapati penjelasan tersebut tidak mencukupi untuk menimbulkan keraguan munasabah atau menafikan bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan,” katanya.

Sementara itu, isteri tertuduh, Fauziah Piut, 61, serta bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah, Lim Lam Beng, 72, dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan selepas mahkamah mendapati adalah tidak selamat untuk mensabitkan mereka.

Fauziah turut dibebaskan daripada dua pertuduhan bersama suaminya selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen niat bersama.

Ketiga-tiga tertuduh mula didakwa pada 28 Disember 2016 dan masing-masing mengaku tidak bersalah.

Ag Mohd Tahir berdepan 11 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, selain satu pertuduhan tambahan di bawah Seksyen 4(1)(a) akta sama.

Fauziah pula menghadapi 19 pertuduhan di bawah undang-undang yang sama, selain dua pertuduhan bersama Ag Mohd Tahir mengikut Seksyen 4(1)(b) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara 4 Oktober hingga 4 November 2016 di beberapa lokasi termasuk pejabat Jabatan Air Sabah, sebuah kediaman di Sembulan, beberapa cawangan bank, sebuah kondominium di Sulaman serta sebuah blok menara di Kuala Lumpur.

Lim pula berdepan empat pertuduhan berkaitan pemilikan sebuah Toyota Land Cruiser, wang tunai RM200,000, RM1.9 juta dan RM280,000 yang didakwa diperoleh daripada hasil aktiviti haram antara 13 Oktober hingga 8 November 2016.

Perbicaraan kes bermula pada 7 Mei 2018 selepas beberapa kali ditangguhkan, dengan pihak pendakwaan memanggil seramai 46 saksi sepanjang prosiding berlangsung.

Pihak pembelaan pula memanggil 15 saksi termasuk bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, dan bekas menteri, Datuk Seri Raymond Tan Shu Kiah.

Fauziah memilih untuk memberikan kenyataan tanpa bersumpah ketika membela diri, manakala Lim memberi keterangan secara bersumpah sebagai satu-satunya saksi pembelaan bagi pihaknya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Jumaat, Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim.

Ag Mohd Tahir serta Fauziah diwakili peguam Datuk Ansari Abdullah, Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon, Fadzidahtul Ardianah, Rasrina Patrick T Rining dan Noorsyazwani Sapri, manakala Lim diwakili Tan Hock Chuan, Baldev Singh dan Kelvin Wong. - Getaran, 19 Mei 2026