
PORT DICKSON: Golongan pengundi ‘atas pagar’ akan menjadi penentu keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Sabtu ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, setiap parti amat bergantung kepada undi mereka apatah lagi kelompok ini lazimnya membuat pilihan bukan berdasarkan perasaan dan sentimen tertentu.
“Jangan nafikan hak mereka yang tidak berparti ini kerana mereka bijaksana, sehingga hari ini mereka belum buat keputusan.
“Mereka akan buat keputusan malam esok atau pada hari mengundi. Saya hormati hak mereka dan mereka ini menentukan satu-satu kerajaan itu bukan mengikut perasaan.
“Kalau mereka rasa hendak ubah, mereka akan ubah, kalau mahu teruskan mereka akan teruskan, mengapa? Kalau mereka berpihak sudah tentu mereka akan menyertai sesebuah parti.
“Pengundi atas pagar ini jumlahnya besar dan mereka ini akan menjadi penentu, ini tidak termasuk lagi undi-undi protes,” katanya ketika ditemui hari ini.
Aminuddin yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berkata, beliau sering bertemu dengan kumpulan pengundi atas pagar sepanjang tempoh dua minggu berkempen.
“Mereka ini tiada parti jadi sukar menentukan sokongan mereka. Jika jumpa orang UMNO, mereka akan ‘tarik muka’ sedikit jadi kita tahu.
“Tapi ada kelompok yang meraikan kehadiran kami tetapi orang UMNO datang mereka raikan juga, orang Bersatu datang pun mereka raikan, ini yang kita kena faham,” katanya. – UTUSAN
The post Pengundi ‘atas pagar’ akan jadi penentu appeared first on Utusan Malaysia.






