
PORT DICKSON – Hasrat membantu menyelesaikan masalah kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi menjadi antara faktor utama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memilih bertanding di kerusi berkenaan.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan itu, Linggi mempunyai kelompok masyarakat yang memerlukan perhatian khusus termasuk golongan miskin tegar, komuniti estet dan nelayan yang berdepan pelbagai cabaran sosioekonomi.
Katanya, selain mahu berkhidmat kepada masyarakat, keputusan bertanding di Linggi turut didorong faktor politik memandangkan kawasan itu merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan beliau mahu membantu PH menambah jumlah kerusi pada pilihan raya kali ini.
“Antara sebab saya memilih Linggi ialah kerana ia merupakan kubu kuat BN. Kita tahu pilihan raya adalah satu pertandingan untuk menentukan pentadbiran negeri.
“Kedudukan kerusi antara PH dan BN boleh dikatakan 50-50 (seimbang), jadi saya perlu keluar untuk menambah bilangan kerusi dan saya memilih bertanding di Linggi bagi memastikan kita dapat tambah kerusi,” katanya ketika ditemui di sini.
Ujar beliau, berbanding DUN Sikamat yang diwakilinya sebelum ini, Linggi mempunyai komposisi masyarakat dan cabaran yang berbeza.
“Komposisi masyarakat Cina dan India di Linggi lebih ramai sedikit berbanding Sikamat, namun yang lebih mencabar ialah kedudukan geografi dan latar belakang sosial penduduk.

“Di sini ada kawasan estet, komuniti nelayan dan ramai masyarakat miskin. Saya nampak kawasan ini mempunyai ramai golongan miskin tegar dan orang miskin yang perlukan perhatian.
“Jadi saya telah meletakkan sepenuh hati untuk berkhidmat di kawasan Linggi bagi menyelesaikan isu-isu setempat. Insya-Allah, ini adalah satu amanah yang besar buat saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Linggi mula menunjukkan perkembangan positif apabila beberapa kawasan yang sebelum ini sering dilanda banjir dilaporkan tidak lagi dinaiki air sejak beberapa bulan lalu.
“Ini menunjukan inisiatif RTB Sungai Linggi amat penting dalam menangani masalah banjir yang sekian lama membelenggu penduduk.
“Keadaan geografi di Linggi menyebabkan kawasan itu oleh dilanda banjir walaupun hujan tidak berlaku di situ.
“Kadang-kadang hujan di Seremban, tetapi Linggi dilanda banjir. Keadaan ini antara perkara yang perlu diselesaikan dan saya yakin projek RTB ini mampu mengurangkan risiko berkenaan,” katanya.
Mengulas mengenai pecutan terakhir kempen, ujarnya, momentum sokongan rakyat masih boleh berubah sehingga hari pengundian bergantung kepada isu yang dimainkan.
Katanya, penyebaran fitnah atau sentimen perkauman pada saat-saat akhir boleh mempengaruhi pemikiran pengundi dan menjejaskan usaha mana-mana parti meraih sokongan.
“Keadaan sebenar hanya boleh dijawab sehari sebelum atau pada hari mengundi kerana perubahan boleh berlaku dalam tempoh yang singkat. Perkara itu boleh menjejaskan sokongan,” katanya.
Namun, beliau yakin rakyat negeri ini kini lebih matang dan rasional dalam membuat pilihan berdasarkan prestasi pentadbiran kerajaan negeri serta pembangunan yang telah dilaksanakan.
“Kita juga menampilkan calon-calon Melayu yang mempunyai pelbagai latar belakang seperti ustaz, teknokrat dan tokoh agama. Kepelbagaian ini menjadi antara kekuatan calon-calon PH pada PRN kali ini,” katanya.
The post Tekad Tok Min bangunkan ekonomi penduduk Linggi appeared first on Kosmo Digital.






