Pengundi Hulu Langat Hargai Pemimpin Fahami Denyut Nadi Rakyat

Politics
16 Nov 2022 • 1:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Penduduk Hulu Langat Zainuddin Muslim merasakan pertandingan di sini sememangnya sangat sengit.

HULU LANGAT - Pertambahan calon di 222 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), berbanding 687 calon pada PRU-14 yang turut melakar sejarah sebagai jumlah tertinggi bertanding pada pemilihan itu, bukan sahaja dilihat meraikan demokrasi, malah memberi lebih pilihan kepada pengundi untuk mencari bakal wakil rakyat berkualiti.

Namun, pertambahan itu pastinya memberi lebih cabaran kepada calon untuk berkempen, terutama di kerusi yang menyaksikan pertandingan banyak penjuru.

Justeru, ketika melewati Hulu Langat, satu daripada Parlimen yang menyaksikan persaingan enam penjuru, Getaran mendapatkan reaksi pengundi mengenai apakah kriteria atau kemampuan calon didambakan mereka untuk memperjuangkan nasib penduduk bagi tempoh lima tahun.

Kawasan itu ditandingi Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Warisan (WARISAN), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan Bebas.

Bagi seorang peniaga, Zainuddin Muslim, beliau merasakan pertandingan di Hulu Langat sememangnya sangat sengit kerana calon yang bertanding, kebanyakannya terkenal di kawasan itu.

Mengakui setiap calon pasti berdepan kesukaran untuk memenangi hati rakyat dan perlu bekerja keras, beliau tetap memilih PN bagi mengenang jasa mantan Perdana Menteri yang juga pengerusi parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membantu rakyat.

“Pada saya Insya-Allah saya memilih Abah (Muhyiddin) sebab saya kenang jasa beliau sewaktu pandemik dulu, kami dalam keadaan tersepit.

“Dengan bantuan diberikan beliau walaupun tak banyak, tapi sekurang-kurangnya dapatlah membantu kami yang dalam kesempitan masa tu,” katanya ketika ditemui di Pasar Pagi Beranang di sini, baru-baru ini.

Pengundi, Mansor Zakaria turut memberi komen senada apabila menyifatkan PN adalah parti yang boleh membawa perubahan kepada penduduk Malaysia, tanpa mengira latar belakang bangsa.

image is not available
Mansor Zakaria

Katanya, ditambah dengan barisan pemimpin parti ditubuhkan pada 23 Februari 2020 itu yang kebanyakannya memiliki kelulusan tinggi dan pengalaman tersendiri dalam mentadbir, mereka pastinya boleh membawa perubahan.

“Kita mesti nilai daripada kedudukan calon yang mana saya tengok calon daripada PN kali ini di sebelah utara sana sehingga ke bawah ini, ada kelulusan untuk membawa perubahan.

“Bila dia ada kelulusan, dia boleh membawa perubahan, lebih bersih,” ujarnya.

Seorang pengundi, Jayapoovan Pannirselvam berkata, pertandingan di Hulu Langat sangat kompetitif memandangkan setiap calon berazam mahu melakukan yang terbaik untuk rakyat, justeru pengundi kena bijak memilih individu benar-benar berkualiti.

image is not available
Jayapoovan Pannirselvam

Jelasnya, pengundi perlu memilih calon yang diyakini boleh menangani masalah dan memimpin rakyat.

Ditanya parti mana dilihat beliau memiliki kelebihan untuk mentadbir, Jayapoovan berkata, kemenangan itu akan diraih calon berkualiti dan berkaliber.

“Calon kena faham apa masalah rakyat dulu. Mereka kena selesaikan masalah rakyat baru boleh jadi pemimpin yang bagus.

“Tanpa menyelesaikan masalah utama, tak akan ada perubahan kepada negara kita,” tegasnya.

Manakala, bagi seorang pengundi muda, Nor Juliana Joned, 20, yang pertama kali akan melaksanakan tanggungjawab mengundi, dia bukan sahaja teruja tetapi mengharapkan satu undi disumbangnya mampu membantu kemenangan calon pilihan.

Enggan mendedahkan siapakah calon ingin diundi pada hari pengundian nanti, dia yakin individu dan parti terbabit akan memperjuangkan rakyat, terutama masa depan anak muda sepertinya.

“Sekarang ini anak muda memerlukan banyak benda, seperti pekerjaan dengan gaji berbaloi dan bantuan menyediakan kemudahan asas seperti kediaman.

“Apa pun, saya harapkan Malaysia terus maju, sudah tak naklah gaduh-gaduh politik, sampai bila?” soalnya.

Menurut seorang belia, Daniel Jebaraj, calon perlu cakna bahawa generasi muda yang bakal menjadi pelapis negara, memerlukan kebajikan dan kemudahan terbaik bagi meningkatkan potensi mereka.

image is not available
Daniel Jebaraj

Tegasnya, sebagai orang muda, beliau sendiri merasakan antara perkara paling penting untuk diperkasakan pemimpin terhadap golongan itu adalah pendidikan.

“Orang muda ini juga memerlukan peningkatan infrastruktur sukan dan apa sahaja pembangunan yang baik untuk menggalakkan potensi diri.

“Semua pembangunan ini adalah demi kebaikan masa depan mereka,” katanya. - Getaran, 16 November 2022