Pengundi wajar tahu siapa calon PM jika BN-Pas menang PRU16

LocalPolitics
7 Oct 2026 • 10:01 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pengundi wajar tahu siapa calon PM jika BN-Pas menang PRU16

PUTRAJAYA – Pengundi disifatkan wajar mengetahui pemimpin mana bakal dilantik sebagai Perdana Menteri (PM) sebelum Parlimen dibubarkan sekiranya gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pas berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) berdasarkan sudut akauntabiliti.

Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Rusdi Omar berkata, gabungan itu tidak semestinya menamakan calon PM sekarang, tetapi selewat-lewatnya sebelum Parlimen dibubarkan memandangkan penggal ini tamat pada Disember 2027.

Beliau berkata, selain itu, gabungan parti itu juga boleh mengumumkan formula seperti parti yang menang kerusi terbanyak boleh menamakan calon PM.

“Kalau tidak (menamakan calon PM), pengundi macam diminta tandatangan cek kosong,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihaknya menggesa Pas menyatakan pendirian sama ada bersedia menerima Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai PM jika BN dan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan selepas PRU16.

Mahfuz Omar membangkitkan persoalan itu susulan ramalan penganalisis politik Ong Kian Ming bahawa Ahmad Zahid berpotensi mendapat sokongan Sabah dan Sarawak untuk menjadi Perdana Menteri jika BN dan Pas atau PN membentuk kerajaan selepas PRU akan datang.

Bagaimanapun, Rusdi berkata, jika mengikut Perlembagaan Persekutuan, sebenarnya tidak ada kewajipan untuk mana-mana parti menamakan calon PM sebelum pilihan raya sebagaimana tertakluk kepada Perkara 43(2)(a) iaitu Agong melantik Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti.

Beliau berkata, sudah menjadi kebiasaan untuk parti gabungan menamakan calon PM iaitu pada PRU14 yang mana Pakatan Harapan (PH) menamakan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pada PRU15 pula, katanya, semua gabungan mempunyai ‘poster boy’ seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada masa sama, beliau berkata, parti gabungan Sabah dan Sarawak perlu diambil perhatian kerana mereka memegang 56 daripada 222 kerusi atau lebih kurang 25 peratus.

“Jadi, jika calon PM yang blok Borneo tidak boleh terima, ia memang susah untuk membentuk kerajaan kelak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Pengundi wajar tahu siapa calon PM jika BN-Pas menang PRU16 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved