
Kota Kinabalu: Sambutan menggalakkan orang ramai terhadap Ideas Playground 2026 menyaksikan hampir 900 pengunjung mendaftar masuk pada hari pembukaan, hampir dua kali ganda daripada sasaran awal sebanyak 500 orang sekali gus mencerminkan peningkatan minat terhadap aktiviti industri, pendidikan dan inovasi yang diketengahkan dalam acara itu.
Pengerusi penganjur Precilla Fong berkata jumlah kehadiran itu melebihi jangkaan manakala aliran pengunjung menjadi lebih lancar apabila sukarelawan semakin memahami urusan pengendalian acara.
“Lebih 100 peserta, termasuk murid, guru dan ahli keluarga, datang dari luar Sabah ke Kota Kinabalu untuk menyertai pertandingan Junior Innovate 2026,” katanya.
Precilla, yang juga Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OOZE, berkata Ideas Playground turut memberi tumpuan kepada murid dari empat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran dan Papar termasuk mereka dari kawasan luar bandar.
Ideas Playground 2026 turut menerima sokongan daripada pelbagai rakan industri termasuk Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) Cawangan Sabah, Toho Plastic Sdn Bhd, Kimanis Food Sdn Bhd, HKTF Furniture Sdn Bhd, Lifewater Marketing, Twinine Sdn Bhd, Hung Tai Sdn Bhd dan BEDI menerusi tajaan produk serta sumbangan.
Turut disediakan pada acara itu ialah pavilion yang dikhususkan kepada beberapa sektor industri iaitu Sumber, Pelancongan, Industri Kreatif dan Pertanian. Pavilion “What;s Next” turut disediakan bagi membantu pelajar mengenal pasti pilihan melanjutkan pengajian yang berpotensi.
Precilla berkata aktiviti berasaskan industri itu dipilih bagi memberi pendedahan kepada murid mengenai sektor yang menunjukkan prestasi baik di Sabah selain membantu mereka memahami laluan kerjaya yang berpotensi sejak usia muda.
Beliau berkata Ideas Playground dirancang untuk berkembang menjadi program sepanjang tahun yang mampan dan bukannya acara sekali sahaja dengan menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan menerusi aktiviti serta pertandingan.
Beliau berharap program itu akhirnya dapat dijadikan platform pameran tahunan untuk murid khususnya mereka dari kawasan luar bandar yang mungkin mempunyai peluang lebih terhad untuk menyertai program di luar Sabah.
Katanya, penganjuran acara seumpama itu di peringkat tempatan dapat membantu menyediakan peluang kepada murid berkenaan yang setanding dengan peluang dinikmati pelajar lain.
Sementara itu, Pengerusi MPMA Cawangan Sabah Liaw Hen Kong berkata pihaknya menyokong Ideas Playground bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai amalan industri serta menunjukkan bagaimana sisa plastik boleh dikitar semula dan digunakan semula.
Beliau berkata inisiatif itu yang turut merangkumi demonstrasi mesin kitar semula plastik bertujuan mendidik pelajar mengenai kepentingan mengumpul dan mengitar semula plastik berbanding membuangnya begitu sahaja.
“Kami mahu menunjukkan kepada pelajar bahawa plastik boleh dikitar semula dan diberi kehidupan baharu. Mereka boleh menggunakan produk plastik, tetapi tidak sepatutnya membuangnya begitu sahaja kerana bahan itu boleh dikumpul, dikitar semula dan digunakan semula,” katanya.
Liaw, yang juga Pengarah Urusan Life Water Industries Sdn Bhd, berkata syarikat itu mempunyai pasukan yang menjalankan program pendidikan di sekolah bandar dan luar bandar bagi mengajar pelajar mengenai kitar semula serta kualiti air minuman.



