Pengunjung Panik Bangunan Di Taman Tema Genting Highlands Terbakar

15 Jun 2024 • 8:27 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Api marak kelihatan di tingkat dua bangunan taman tema di Genting Highlands, semalam. - Gambar Facebook

GENTING HIGHLANDS - Api marak dan asap tebal yang menyelubungi kawasan bangunan di taman tema Genting Highlands mencetuskan suasana panik dalam kalangan pengunjung.

Seorang pengunjung Hafiz Abdul Halim, 42, berkata perasaan takut mula timbul apabila menyedari terdapat kebakaran di tingkat dua bangunan di taman tema itu.

"Kita sudah tentu panik apabila dengar orang jerit sana sini," katanya ketika ditemui Bernama di sini, semalam.

Menurutnya pihak polis yang bertugas meminta orang ramai untuk meninggalkan premis dan keluar ke lokasi yang lebih selamat.

Seorang pekerja restoran Adrian Wong, 32, berkata semua petugas di premis itu termasuk orang awam diarahkan mengosongkan premis ekoran kebakaran pada petang semalam.

"Mereka meninggalkan segala urusan untuk selamatkan diri," katanya.

Dalam pada itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Dr Wan Mohamad Zaidi Wan Isa dalam kenyataan berkata api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 6.30 petang semalam.

Beliau berkata tiada mangsa yang terlibat dalam kebakaran itu.

Terdahulu Pusat Gerakan Operasi JBPM Pahang memaklumkan menerima laporan berkaitan insiden itu pada 4.55 petang. - BERNAMA