GEORGE TOWN – Isu lambakan sampah di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak, di sini dikenal pasti berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengunjung, khususnya ketika musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.
Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Abu Mansur Maturid Mohd Romli berkata, pihaknya memandang serius aduan yang tular berhubung masalah kebersihan di kawasan berkenaan dan telah mengambil tindakan segera melaksanakan kerja-kerja pembersihan.
Menurutnya, hasil pemantauan mendapati terdapat pengunjung yang membuang sisa seperti bahan buangan, batu nisan lama serta barangan berkaitan tanpa pengurusan sewajarnya sehingga menjejaskan kebersihan dan imej kawasan perkuburan.
“Perbuatan ini tidak wajar kerana kawasan perkuburan merupakan tempat yang perlu dihormati dan dipelihara,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Tambahnya, tanah perkuburan tersebut berada di bawah seliaan MAINPP dan terletak di Lot 10026, Seksyen 6 dengan keluasan kira-kira 2.83 hektar serta telah digunakan sejak lebih 50 tahun lalu.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pengunjung dan waris agar lebih bertanggungjawab dengan tidak meninggalkan sebarang sampah di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, katanya, kawasan perkuburan berkenaan kini disifatkan sangat padat dan telah digunakan secara berlapis serta berulang kali sejak sekian lama, sekali gus menyebabkan jumlah sebenar kubur sukar ditentukan.
"Kita akan terus mempertingkatkan pemantauan selain mempertimbangkan langkah penambahbaikan termasuk penyediaan kemudahan pengurusan sisa yang lebih teratur bagi memastikan kawasan itu kekal bersih dan terurus," ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Masjid Jamek Hashim Yahaya, Zambri Abdul Rahman berkata, terdapat dua kawasan tanah perkuburan di masjid berkenaan iaitu bersebelahan masjid serta berhadapan masjid.
Menurutnya, tanah perkuburan di hadapan masjid merupakan di bawah seliaan ahli jawatankuasa masjid manakala di sebelah masjid di bawah seliaan MAINPP.
"Isu tanah perkuburan dicemari sampah yang ditular berlaku di tanah perkuburan di sebelah masjid iaitu di bawah seliaan MAINPP.
"Sementara tanah perkuburan di bawah seliaan masjid, memang kita sentiasa menjaga malah kerap diadakan gotong royong untuk membersihkan tanah perkuburan ini agar sentiasa bersih," katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, tular beberapa keping gambar menunjukkan tanah perkuburan di sebelah masjid berkenaan dicemari dengan longgokkan sampah.
Keadaan menyebabkan waris yang mengunjung tanah perkuburan itu tidak selesa kerana ia kelihatan tidak terurus oleh pihak yang bertanggungjawab.

