
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kejutan kepada pengunjung di gerai Sup Meletup di Medan Selera Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini, hari ini apabila meluangkan masa menikmati makan tengah hari bersama mereka di premis itu.
Kemunculan Anwar disambut pemilik gerai tersebut, Zolkhoari Abdul Aziz dan beliau berada selama kira-kira 15 minit di situ, sambil menyantuni pengunjung sekitar jam 1 tengah hari.
Kehadiran Perdana Menteri turut diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Anwar menikmati hidangan bihun sup panas popular di gerai itu sebelum bergerak ke Masjid Saidina Othman Ibn Affan, Bandar Tun Razak untuk menunaikan solat Jumaat.
Kehadiran bersahaja Anwar meraih perhatian orang ramai yang nyata teruja dan berkongsikan momen istimewa itu di ruangan komen Twitter.
Seorang pengguna @milanicki berkata “Aura DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) amat berbeza dengan aura Perdana Menteri Ke-7 (Tun Dr Mahathir Mohamad) dulu. #PMbest,” ciapnya di Twitter.
Pengguna lain, @coMM4nD3R_ pula menulis komen berbahasa Inggeris, “Truly a man on a mission! (Seorang lelaki yang benar-benar ada misi).
Manakala, pengguna @Nn_nutella pula sempat menyindir mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Kalau sesiapa ada gambar Muhyiddin atau Ismail Sabri makan dekat food court (gerai makan), tolong tampal (kongsi) sini,” katanya. - Getaran, 23 Disember 2022

