Pengurangan Calon India, Pertukaran Nama Saat Akhir Cetus Kekecewaan Akar Umbi PKR Johor

LocalPolitics
22 Jun 2026 • 8:16 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pengurangan Calon India, Pertukaran Nama Saat Akhir Cetus Kekecewaan Akar Umbi PKR Johor

KUALA LUMPUR - Dakwaan pertukaran calon pada saat-saat akhir menjelang pengumuman rasmi senarai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mencetuskan keresahan dalam kalangan akar umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR), khususnya berkaitan isu representasi masyarakat India dalam parti.

Sumber dalaman PKR mendakwa, beberapa keputusan penting berhubung senarai calon dibuat di peringkat pusat tanpa mengambil kira pandangan kepimpinan negeri, termasuk melibatkan pertukaran calon tempatan yang telah lama berkhidmat dan bekerja di kawasan masing-masing.

Menurut sumber itu, tindakan berkenaan bukan sahaja menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan jentera parti, malah mengundang persoalan mengenai komitmen PKR terhadap prinsip keterangkuman yang selama ini menjadi antara asas perjuangannya.

“Ramai di akar umbi kecewa kerana beberapa nama yang telah lama bekerja untuk parti dan dikenali di kawasan masing-masing tiba-tiba digugurkan pada saat akhir.

“Keputusan itu pula dikatakan dibuat oleh pihak tertentu di peringkat pusat tanpa perbincangan sewajarnya dengan kepimpinan negeri, menyebabkan ramai merasakan suara akar umbi tidak lagi diberikan perhatian,” katanya.

Getaran difahamkan, antara isu yang paling banyak diperkatakan ialah pengurangan jumlah calon daripada masyarakat India yang sebelum ini dijangka diberikan tiga kerusi untuk ditandingi.

Bagaimanapun, berdasarkan senarai terkini yang beredar dalam kalangan pimpinan parti, hanya dua kerusi dipercayai akan ditandingi calon masyarakat India iaitu Bukit Kepong dan Layang-Layang.

Kerusi Buluh Kasap yang sebelum ini dikatakan bakal diperuntukkan kepada calon daripada komuniti tersebut pula dipercayai telah ditukar pada saat akhir.

Perkembangan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemimpin dan aktivis masyarakat India.

Ramai melihat keputusan berkenaan sebagai isyarat bahawa sumbangan komuniti tersebut semakin kurang diberikan perhatian dalam proses membuat keputusan parti.

“Masyarakat India bukan kelompok yang baru bersama PKR. Mereka antara yang paling awal menyokong perjuangan parti sejak era Reformasi, menggerakkan jentera di lapangan dan mempertahankan parti ketika berdepan pelbagai cabaran politik.

“Apabila jumlah kerusi yang diperuntukkan semakin berkurangan, sudah tentu timbul persoalan sama ada sumbangan mereka masih dihargai atau sebaliknya,” kata sumber itu lagi.

Beliau berkata, sentimen kecewa yang mula kedengaran di peringkat akar umbi tidak boleh dipandang ringan memandangkan masyarakat India memainkan peranan penting dalam beberapa kawasan campuran yang menjadi sasaran parti pada PRN kali ini. 

Menurutnya, kegagalan menangani persepsi berhubung isu representasi dan pengiktirafan terhadap pemimpin tempatan berisiko menjejaskan semangat jentera serta tahap sokongan penyokong tradisional parti.

Setakat ini, kepimpinan PKR masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan pertukaran calon pada saat akhir serta isu pengurangan jumlah calon daripada masyarakat India dalam PRN Johor. - Getaran, 22 Jun 2026