
KUALA LUMPUR - PKR mengesahkan akan meletakkan calon di minimum 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan 16 kerusi di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Setiausaha Agung PKR merangkap Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata pembahagian kerusi telah dimuktamadkan.
“Pembahagian kerusi dah dimuktamadkan, saya difahamkan 16 di Negeri Sembilan, manakala minimum 20 kerusi di Johor,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di Kuantan.
Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mengumumkan akan bertanding di semua 56 kerusi DUN Johor dengan DAP mengesahkan 17 kerusi. Di Negeri Sembilan, PH dijangka bertanding kesemua 36 kerusi — PKR (16), DAP (11) dan Amanah (9).
PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai, manakala Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan.
Fuziah berkata kadar keluar mengundi yang tinggi berpotensi memberi kelebihan kepada PH di Johor, sambil mengingatkan semua parti agar berkempen secara sihat.
“Bawalah kebaikan yang boleh ditawarkan, bukan memburukkan parti lain. Itulah cara meraikan demokrasi. Semoga parti terbaik akan menang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fuziah berkata beliau akan mencadangkan kepada Kementerian Kewangan supaya kuota bahan api di bawah program BUDI MADANI (BUDI95) bagi pengamal media ditingkatkan.
Beliau turut memaklumkan sebanyak 13,692 program PJRM telah dilaksanakan di seluruh negara sejak Januari, dengan 974 daripadanya diadakan di Pahang. - 14 Jun, 2026
The post PKR sahkan bertanding 20 kerusi di Johor, 16 di Negeri Sembilan: Fuziah appeared first on Scoop.





