liza06/05/2026 - 11:49 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Mei – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menggesa kerajaan agar menangguhkan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas sewa komersial serta cukai 2% ke atas dividen sehingga tahun 2027 bagi mengelakkan segala manfaat pengurangan sewa premis perniagaan ‘tidak dinikmati’ akibat tekanan cukai baharu.
Presidennya, Datuk William Ng berkata SST ke atas sewa dan cukai dividen merupakan dua halangan utama kos yang dihadapi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan jika diteruskan sekarang, ia berisiko menghapuskan sepenuhnya manfaat pengurangan sewa yang diumumkan kerajaan.
“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI atas arahan menurunkan kadar sewa premis perniagaan di bawah MARA, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) serta gesaan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk turut melaksanakannya.
“Arahan tersebut merupakan langkah proaktif dan tepat pada masanya ketika PMKS berdepan tekanan kos operasi yang semakin meningkat akibat cabaran rantaian bekalan dan harga tenaga global.
“Namun begitu, Samenta memberi amaran bahawa pelaksanaan cukai baharu itu boleh “menghapuskan segala manfaat” pengurangan sewa atau boleh diibaratkan seperti ‘memberi dengan sudu tetapi mengambil semula dengan senduk’,” katanya dalam satu kenyataan.
Persatuan itu menegaskan penangguhan sehingga 2027 adalah penting bagi memastikan aliran tunai PMKS kekal stabil, di samping menggalakkan pelaburan semula serta mewujudkan kestabilan fiskal yang lebih jelas untuk perniagaan.
Samenta turut menjelaskan bahawa pemilik PMKS banyak bergantung kepada dividen sebagai sumber pendapatan selepas mengambil gaji minimum, justeru cukai ke atas dividen disifatkan sebagai satu bentuk “cukai berganda” yang boleh menjejaskan modal pelaburan semula, khususnya untuk automasi dan pendigitalan perniagaan.
Dalam kenyataan sama, Samenta turut mendedahkan hasil tinjauan terbarunya yang menunjukkan tekanan kos semakin meruncing dalam kalangan PMKS.
• 93% responden sudah pun merasai kesan kenaikan kos operasi.
• 38% melaporkan kenaikan kos yang mendadak melebihi 11%.
• Walaupun kos meningkat, hanya 17% PMKS telah menaikkan harga jualan.
• 45% kini bertahan dengan memotong margin keuntungan mereka yang sedia nipis

Selain itu, 14% masih tidak pasti bagaimana untuk meneruskan kelangsungan perniagaan di tengah-tengah peningkatan kos ini.
Samenta berkata keadaan ini menunjukkan keperluan mendesak untuk “ruang pernafasan fiskal” yang lebih strategik bagi memastikan sektor PMKS kekal berdaya tahan dalam jangka panjang.
Dalam masa sama, persatuan itu mengalu-alukan sokongan kerajaan termasuk dana tambahan, peningkatan had jaminan di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) serta pengumuman pengurangan sewa, namun menegaskan dasar cukai perlu diselaraskan supaya tidak membebankan secara serentak.
Samenta turut menekankan bahawa arahan pengurangan sewa di bawah MARA dan UDA adalah bersifat wajib, manakala PBT digesa untuk turut melaksanakan langkah sama bagi memastikan impak lebih menyeluruh kepada peniaga kecil di seluruh negara.
“Jika tidak diselaraskan dengan baik, manfaat pengurangan sewa ini akan hilang kesannya akibat tekanan cukai baharu,” tambahnya.
Sehubungan itu, Samenta menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam merealisasikan agenda Ekonomi MADANI demi kesejahteraan PMKS dan ekonomi negara secara keseluruhan. - DagangNews.com





